KAJANG: Ketika pingat perak sudah mula dianggap sebagai habuan, trio compound wanita Sarawak mencetuskan kebangkitan dramatik pada detik terakhir untuk merampas emas daripada Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, di Stadium INSPENS hari ini.
Aira Nadirah Aizuddin, Nur Zara Aisyah Khairul Fadly dan Wee Yee Qi bangkit daripada ketinggalan empat mata selepas tiga end untuk menamatkan saingan dengan 217 mata, mengatasi Terengganu yang mengumpul 213 mata.
Terengganu yang diwakili Airazalia Azrai, Nur Shafiena Mohd Shuhamri dan Putri Aqiera Issandra Ismayuddin sebenarnya berada dalam kedudukan selesa sebelum kutipan hanya 48 mata pada end terakhir membuka ruang kepada Sarawak melakukan pencerobohan.
Zara mengakui ketika ketinggalan lima mata, dia sudah mula menerima kemungkinan hanya membawa pulang pingat sebelum memilih untuk melepaskan panahan terakhir tanpa dibelenggu tekanan.
“Kami memang sudah reda dah masa itu, sebab rasa sekadar ada pingat, jadi saya sasar saja yang terbaik, alhamdulillah masuk, boleh dikira masuk,” katanya.
Wee Yee pula enggan membiarkan rakan sepasukannya terus dihimpit keraguan apabila mengingatkan Zara bahawa satu panahan buruk tidak sepatutnya menentukan keseluruhan peluang mereka untuk bergelar juara.
“Saya cuma fikir, walaupun kita mungkin rasa kita sedang kalah ketika itu, kita tetap perlu sasar yang terbaik sampai habis, satu panahan buruk tidak bermakna ia akan menjejaskan keseluruhan pusingan,” katanya.
Kemenangan itu menghadiahkan Sarawak emas acara berkenaan buat kali pertama sejak 2018, manakala Wee Yee turut melengkapkan hari gemilangnya dengan dua emas selepas terlebih dahulu memenangi acara compound campuran bersama Eason Lau Hui Wan.
Bagi Aira yang membuat penampilan ketiga dan terakhir di SUKMA, keserasian mereka menjadi antara senjata utama selepas ketiga-tiga pemanah menjalani latihan berpusat bersama sejak Julai selain mendapat pendedahan pertandingan di Thailand dan Malaysia sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan berkenaan. – UTUSAN










