‘Dajal’ dan Aishah Azman - Utusan Malaysia

‘Dajal’ dan Aishah Azman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika nama belum dikenali, media dicari.Ketika mahu dikenali, wartawan dicari.

Ketika mahu karya diberi perhatian, liputan media diperlukan. Tetapi apabila nama sudah ada dalam industri, walaupun suam-suam kuku, pengamal media pula dilabel dajal.

Aduhai Aishah Azman, apa agaknya yang membuatkan pelakon ini berasa tersakiti sangat? Cik Bunga cuma mahu pesan satu perkara. Jangan terlalu cepat lupa siapa yang pernah membantu ketika kita masih membina nama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak awal menapak dalam dunia seni, pengamal media antara pihak yang memberi ruang kepada Aishah. Mereka menulis mengenai kerjaya, membuat liputan, menemu bual dan memperkenalkan nama Aishah kepada khalayak.

Kalau begitu teruk, bagaimana nama Aishah boleh sampai dikenali? Tentu, media bukan semuanya betul. Tetapi artis juga bukan semuanya betul.

Kalau laporan salah, betulkan.Kalau soalan tidak disenangi, jawab dengan baik. Kalau ada tulisan yang dirasakan keterlaluan, tegur secara profesional. Tidak perlu melabel seluruh pengamal media sebagai ‘dajal’.

Marah boleh. Tegas boleh.Pertahankan diri juga boleh. Tetapi jangan sampai emosi membuatkan kita hilang pertimbangan.

Aishah masih muda dan perjalanan seninya masih panjang. Banyak lagi karya yang boleh dihasilkan dan banyak lagi peluang yang boleh dikejar. Jangan biarkan satu kenyataan membuatkan orang lebih sibuk bercakap tentang sikap daripada bakat.

Dalam industri hiburan, artis dan media saling memerlukan.Dan paling penting, jangan lupa jasa orang yang pernah membantu ketika nama belum berada di mana-mana.

Hari ini mungkin rasa media tidak penting. Esok apabila ada filem, drama atau projek baharu, media juga yang dicari untuk membantu memperkenalkannya.

Cik Bunga bukan mahu mengajar Aishah bagaimana mahu membawa diri. Cuma dalam dunia hiburan, bakat sahaja tidak cukup.

Cara kita bercakap, cara kita melayan orang dan cara kita mengawal emosi juga menentukan sejauh mana kita dihormati. Kalau mahu dihormati, hormatilah orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini