Penantian 8 tahun Haris berakhir dengan emas

Penantian 8 tahun Haris berakhir dengan emas

MUHAMMAD Haris Mohd Rezal berjaya menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Selangor dalam acara 1 meter papan anjal lelaki akhir di Pusat Akuatik Darul Ehsan, sebentar tadi-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penantian lapan tahun atlet terjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal untuk kembali meraih emas Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir dengan penuh bergaya apabila dia mengungguli acara 1 meter (m) papan anjal lelaki, di Pusat Akuatik Darul Ehsan, sebentar tadi.

Haris mengumpul 353.80 mata untuk menewaskan atlet Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim yang meraih perak dengan 347.70 mata, manakala rakan sepasukannya, Yong Rui Jie membawa pulang gangsa selepas mengumpul 336.15 mata.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir pada penampilan terakhir Haris di pentas SUKMA sebelum menutup lembaran temasya selepas tujuh penyertaan sejak usia sembilan tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang saya jangkakan boleh menang, tetapi kena kerja keras juga. Papan 1m memang acara kegemaran saya.Saya sangat bersyukur dapat nombor satu dan mengalahkan atlet kebangsaan,” katanya selepas pertandingan.

Atlet berusia 21 tahun itu berkata, kejayaan itu turut menjadi suntikan semangat untuk mengejar impian lebih besar selepas ini, termasuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

“Setakat ini memang saya ada sasaran untuk wakil Malaysia secepat mungkin. Insya-Allah, saya mahu cuba ke Sukan SEA, Terbuka Hong Kong , Terbuka Malaysia dan National Trials,” katanya.

Menariknya, Haris belum pernah menyarung jersi skuad kebangsaan walaupun sudah berkecimpung dalam sukan terjun sejak usia enam tahun.

“Memang saya tak pernah masuk skuad kebangsaan, hanya wakil negeri. Tetapi memang saya teringin untuk sertai banyak temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Komanwel,” katanya.

Haris turut mendedikasikan kejayaan emas itu kepada jurulatihnya, Rossharisham Roslan yang membimbingnya sejak berusia enam tahun, selain keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang kariernya.

“Coach Sham sentiasa ada dan tidak pernah putus asa dengan saya. Dia sentiasa nampak potensi saya.Saya juga mahu ucap terima kasih kepada isteri dia, Kak Muna, mak, ayah dan abang saya yang banyak membantu, termasuk menghantar saya ke latihan,” katanya.

Haris sebelum ini pernah memenangi emas acara seirama platform bersama abangnya, Muhammad Syahmi Mohd Rezal, pada SUKMA edisi lalu, namun terpaksa menunggu lapan tahun untuk kembali merasai kejayaan emas dalam acara individu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN