SHAH ALAM: Perenang Selangor, Eliza Ai Shen Tan mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) gaya bebas wanita sebanyak dua kali dalam tempoh hanya beberapa jam pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Perenang berusia 19 tahun itu terlebih dahulu mencatat 57.03 saat (s) dalam saingan saringan sebelah pagi untuk menurunkan rekod 57.11s milik Nadia Lim yang dilakar pada Julai lalu di Bangkok.
Belum puas dengan pencapaian itu, Eliza kembali ke kolam renang pada sesi final dan memperkemaskan catatan berkenaan kepada 56.78s untuk memecahkan rekod miliknya sendiri sekali gus menghadiahkan emas kepada tuan rumah.
Nadia yang sebelum ini memegang rekod kebangsaan terpaksa berpuas hati dengan perak selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 57.67s, manakala Lynna Yi Jing Yeow dari Melaka meraih gangsa menerusi 58.52s.
Pencapaian berganda itu turut menjadikan Eliza perenang pertama pada temasya kali ini yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebelum mengulangi pencapaian sama dalam acara final pada hari yang sama.
Lebih manis, kejayaan tersebut hadir sehari selepas Eliza membuka akaun emasnya menerusi acara 200m gaya bebas wanita dengan catatan 2 minit 05.26s.
Perenang yang berpangkalan di Australia itu kini muncul antara sandaran utama Selangor dalam kolam renang apabila sudah mengumpul dua emas, selain menghasilkan dua rekod kebangsaan hanya dalam tempoh sehari. – UTUSAN










