Gaji naik tetapi hidup masih sempit

Gaji naik tetapi hidup masih sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN gaji sememangnya sesuatu yang menggembirakan pekerja. Namun, kegembiraan itu boleh menjadi singkat apabila peningkatan pendapatan tidak seiring dengan kenaikan kos kehidupan.

Apatah lagi hasrat kerajaan menyemak semula kadar gaji minimum sama ada kadar semasa RM1,700 sebulan kekal atau dinaikkan ke paras baharu yang akan mengambil kira indikator asas iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja.

Namun bagi sebahagian besar rakyat, persoalannya bukan semata-mata berapa banyak gaji meningkat tetapi berapa ba­nyak yang masih berbaki selepas segala keperluan asas dibayar. Harga makanan, sewa atau ansuran rumah, pengangkutan, bil utiliti, pendidikan anak dan komitmen bulanan terus mengambil sebahagian besar pendapatan. Akhirnya, kenaikan gaji yang sepatutnya meningkatkan taraf hidup hanya membantu rakyat menampung peningkatan kos yang sedia ada.

Ada bergaji RM4,000 tetapi setelah ditolak perbelanjaan pen­ting seperti ansuran rumah, bil utiliti, barang dapur, pinjaman kenderaan, ada yang tinggal bawah RM500. Itu pun akan digunakan untuk urusan kecemasan. Keadaan ini menimbulkan persoalan lebih besar mengenai makna sebenar peningkatan pendapatan. Jika gaji meningkat tetapi kuasa beli tidak banyak berubah, rakyat masih berada dalam keadaan tertekan.

Lebih membimbangkan adalah golongan berpendapatan sederhana yang sering berdepan tekanan kewangan. Mereka mungkin tidak layak menerima sebahagian bantuan bersasar namun dalam masa sama tidak mempunyai pendapatan yang cukup. Dalam konteks ini, isu gaji tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kos sara hidup. Kenaikan gaji perlu disertai usaha memastikan harga barangan dan perkhidmatan kekal munasabah.

Sebab itu, ramai masyarakat kini dilihat lebih gemar me­ngunjungi taman awam atau beriadah di Dataran Merdeka pada hujung minggu kerana percuma berbanding melancong atau ke pusat beli-belah kerana perlu mengeluarkan wang. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan dasar ekonomi benar-benar memberi kesan kepada rakyat di peringkat bawah. Ukuran kejayaan ekonomi tidak seharusnya berhenti pada kadar jumlah pelaburan atau prestasi pasaran semata-mata. Yang lebih penting sama ada seorang pekerja biasa mampu membayar ansuran rumah, menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga dan masih mempunyai lebihan untuk simpanan serta kecemasan.

Dalam masa sama, majikan perlu melihat isu gaji sebagai sebahagian daripada pelaburan terhadap produktiviti. Pekerja yang menerima gaji setimpal dengan kemahiran dan sumbangan mereka lebih berupaya meningkatkan produktiviti, sekali gus memberi manfaat kepada syarikat dan ekonomi negara.

Rakyat juga tidak boleh terus bergantung kepada bantuan sebagai penyelesaian jangka panjang. Bantuan penting ketika berdepan tekanan ekonomi tetapi penyelesaian sebenar ialah mewujudkan pekerjaan berkualiti, gaji yang lebih baik dan peluang peningkatan pendapatan yang berterusan.

Pada akhirnya, rakyat tidak mahu sekadar melihat angka gaji bertambah dalam slip gaji. Mereka mahu merasakan perubahan itu dalam kehidupan sebenar. Rakyat hanya mahu pergi ke pasar tanpa terlalu berkira, mampu memiliki atau menyewa rumah yang selesa, menyediakan keperluan anak dan mempunyai simpanan untuk menghadapi kecemasan.

Kenaikan gaji sepatutnya membawa kepada kehidupan yang lebih baik, bukannya sekadar kepada kenaikan harga. Ini kerana ukuran sebenar kemajuan ekonomi bukan berapa tinggi gaji rakyat meningkat, tetapi berapa jauh peningkatan itu mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih selesa.

Juani Munir Abu Bakar ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×