Anak syarikat Khazanah menimbulkan keraguan tentang tatakelola - PM

Anak syarikat Khazanah menimbulkan keraguan tentang tatakelola – PM

Anak syarikat Khazanah
ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian HAMKA 2026 di Klang, baru-baru ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) diarah menyiasat sebuah anak syarikatnya yang ditubuhkan pada 2012 apabila tatakelolanya didakwa menimbulkan keraguan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu didedahkan dalam Mesyuarat Lembaga Khazanah di Bangunan UEM Khazanah, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Beliau berkata, keraguan tersebut dikesan disebalik tadbir urus baik yang dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi, dalam gali-gali rupanya ada syarikat ditubuh sejak 2012 yang menimbulkan keraguan tentang tatakelola, apa keputusan saya? Saya kata tak kira, walaupun pengerusi sekarang Perdana Menteri, saya kata kalau ada pelanggaran tatakelola, siasat.

“Itu barulah kita tegas, jadi sekarang keputusan kita pagi tadi dalam Mesyuarat Lembaga Khazanah di Bangunan UEM, memutuskan untuk siasat apa-apa aspek supaya kita bersihkan walaupun itu warisan saki-baki yang lama, kerana masih berterusan,” katanya dalam program Temu Anwar selepas Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan dan Antarabangsa (HAMKA) 2026 di sini, hari ini.

Malah, Menteri Kewangan itu menegaskan, arahan menyiasat terhadap salah lalu dalam tadbir urus yang berlaku lebih 10 tahun lalu perlu dilakukan apabila kerugiannya ditanggung oleh generasi masa kini.

“Orang tanya, macam saya sebut tadi, Felda. Oh, hendak bongkar yang lama, lama apa, kena bayar sekarang! Sahnya, 10 atau 15 tahun yang lalu, tetapi yang kena bayarnya, sekarang.

“Tabung Haji, bukan dengki orang lama, tetapi masalahnya sekarang. Nasib baik, alhamdulillah, kita ada menteri (Dr. Zulkifli Hasan), Tan Sri Abdul Rashid Hussain (Pengerusi Lembaga Tabung Haji) dia mengetuai lembaga, bersih, jaga baik-baik dan pulihkan,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar ketika ditemui selepas majlis tersebut memaklumkan suatu kenyataan akan dikeluarkan oleh Khazanah berhubung perkara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini