Litar permotoran RM20 juta jadi tarikan baharu Perlis

Litar permotoran RM20 juta jadi tarikan baharu Perlis

ABU Bakar Hamzah (dua dari kiri) melihat pelan pembinaan litar permotoran di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA), Padang Besar, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebuah litar permotoran bernilai kira-kira RM20 juta yang dibangunkan di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA) dijangka menjadi tarikan baharu kepada peminat sukan permotoran dan sektor pelancongan Perlis.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pembangunan litar itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan pemotoran moden dan mempunyai laluan lurus sepanjang kira-kira 1.3 kilometer dengan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, pembangunan litar tersebut akan memberi impak positif bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi malah turut mengukuhkan lagi sektor pelancongan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Litar yang bakal dibina menerusi kerjasama kerajaan negeri dengan sebuah syarikat permotoran, ESR Motor itu bukan sahaja menjadi contoh buat negara jiran malah di peringkat Asia. 

“Pada 15 September depan, kita akan mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan litar permotoran tersebut. Dengan adanya litar itu kelak, ia bukan sahaja dapat tingkatkan sukan permotoran malah turut membantu merancakkan ekonomi setempat dan negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak pembinaan litar tersebut semalam.

Abu Bakar berkata, pembinaan litar itu juga bakal merancakkan lagi sektor pelancongan sempadan dengan kemasukan pengunjung dari Thailand.

“Pelancong dari Thailand khususnya peminat sukan permotoran yang berkunjung ke litar itu akan singgah di Perlis dan ini pastinya membantu kepada peningkatan ekonomi,” katanya.

Abu Bakar berkata, selain pembinaan litar itu, kerajaan negeri juga mensasarkan untuk mencari pelabur berpotensi bagi membangunkan hotel bertaraf lima bintang di negeri ini.

Katanya, justeru itu kerajaan negeri akan mengadakan libat urus dengan kerajaan Brunei atau Thailand bagi mewujudkan konsep bandar berkembar dan pelancongan sempadan. 

“Konsep bandar berkembar dirancang ini mungkin boleh dibuat seperti Perlis-Brunei dan Perlis-Bangkok bagi pelancongan sempadan. Buat masa ini belum ada pertemuan bagi pelaksanaan ini namun kita rancang untuk adakan lawatan selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini