TIDAK semua anjing yang berkeliaran mempunyai tingkah laku yang sama. Ada yang tidak mengganggu manusia, ada yang takut kepada manusia dan ada juga yang mungkin menjadi agresif apabila berasa terancam.
Sebab itu, tindakan manusia ketika berdepan dengan anjing yang mengejar juga penting. Menjerit, membaling sesuatu atau cuba mengejar semula haiwan tersebut mungkin menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang. Dalam keadaan panik, tindakan yang tidak difikirkan dengan baik boleh meningkatkan risiko kecederaan.
Kanak-kanak khususnya perlu diajar supaya tidak mendekati anjing yang tidak dikenali, tidak mengusik dan tidak menyentuh anjing yang sedang makan atau menjaga anak. Pengetahuan mudah seperti ini boleh membantu mengurangkan risiko.
Pemilikan anjing juga datang bersama tanggungjawab untuk memastikan keselamatan haiwan peliharaan dan orang di sekeliling sentiasa terpelihara. Memelihara anjing bukan hanya tentang menyediakan makanan dan tempat tinggal. Anjing yang dipelihara perlu dikawal supaya tidak berkeliaran dan menimbulkan ketakutan kepada orang di sekeliling.
Membincangkan isu ini juga tidak bermaksud semua anjing perlu dianggap sebagai ancaman. Begitu juga, kebimbangan mangsa tidak seharusnya dipandang sebagai tanda membenci anjing. Yang diperlukan ialah lebih banyak kesedaran dan sikap bertanggungjawab daripada pemilik anjing serta masyarakat di sekeliling.
Apabila seseorang dikejar anjing, jangan terus mentertawakannya atau menganggap dia terlalu takut. Orang yang melihat dari luar tidak berada dalam situasi yang sama dan tidak tahu bagaimana tubuh serta fikiran seseorang bertindak ketika berdepan dengan ketakutan.
Bagi mangsa, salakan yang semakin dekat bukan sekadar bunyi. Ia boleh menjadi beberapa saat yang membuatkan jantung berdegup kencang, tangan menggigil dan kaki hilang arah.
Jadi, isu anjing berkeliaran tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai gangguan kecil. Di sebalik setiap kejadian, ada manusia yang mungkin ketakutan, terjatuh, cedera atau mengalami trauma untuk tempoh yang lama.
Keselamatan manusia dan kebajikan anjing tidak semestinya perlu dipertentangkan. Masyarakat boleh menghormati anjing pada masa yang sama memastikan orang ramai berasa selamat ketika berjalan, berjoging, berbasikal atau menunggang dalam kehidupan seharian.
Jangan tunggu sehingga berlaku kecederaan teruk untuk memahami bahawa pengalaman dikejar anjing bukan perkara kecil. Kadangkala, beberapa saat sahaja sudah cukup untuk mengubah rasa selamat seseorang di tempat yang selama ini dianggap biasa. –UTUSAN
DR. NORLAILA ABDULLAH CHIK
Pusat Pengajian Kerajaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











