Laluan motosikal perlu berkualiti, ditambah

Laluan motosikal perlu berkualiti, ditambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) mendedahkan  sebanyak 6,537 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan tahun lalu, bersamaan kira-kira 18 nyawa setiap hari.

Sebalik angka kematian yang terus meningkat, perkara yang perlu diberi perhatian serius, iaitu kese­lamatan penunggang dan pembonceng motosikal.

Hampir dua daripada setiap tiga kematian melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal.

Walaupun ia mewakili sekitar 14 peratus daripada kende­raan terlibat dalam kemalangan, penunggang dan pembonceng menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian jalan raya.

Angka bukan sekadar statistik kerana tiap satu mewakili seorang ibu, bapa, suami, isteri, anak atau saudara yang tidak akan lagi pulang ke rumah.

Banyak insiden kemalangan bukan di laluan motosikal sebaliknya jalan besar. Sebab apa? Mungkin jalan berkenaan tidak selamat.

Pegawai berkaitan perlu turun padang dan melihat sendiri keadaan laluan motosikal. Jangan hanya bergantung kepada laporan pengguna. Kena ingat, bukan semua pengguna suka membuat aduan. Pihak berkaitan yang patut rasa malu sekiranya sudah tular baru bertindak.

Utusan Malaysia pernah menyiarkan laporan khas mengenai isu itu menerusi tajuk ‘Bahaya Menanti di Laluan Motosikal?’ Selepas laporan tersebut disiarkan, pelbagai pihak turun padang. Jalan dan lampu yang rosak diperbaiki, manakala cat dan tanda amaran yang tertanggal serta kusam dicantikkan semula.

Reaksi penunggang motosikal terhadap tindakan itu ketika itu sememangnya melegakan.

Malangnya, beberapa hari lalu, akhbar ini menerima kiriman e-mel pembaca yang merungut keadaan laluan berkenaan dikatakan tidak lagi seindah dahulu.

Persoalannya, adakah laluan hanya akan diperbaiki selepas media membuat laporan?

Infrastruktur jalan raya tidak boleh dijaga secara bermusim. Lebih-lebih lagi negara kita menerima hujan sepanjang tahun. Banjir kilat boleh menyebabkan lopak air, longkang tersumbat dan membawa kayu dan sampah ke laluan motosikal.

Semua ini boleh menjadi perangkap maut kepada penunggang.

Sudah tiba masanya kita menilai semula saiz laluan motosikal. Jumlah motosikal dan variasinya semakin bertambah, tetapi adakah lebar laluan benar-benar berkembang seiring dengan peningkatan pengguna?

Kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya tahun lalu dianggarkan sekitar RM30 bilion berdasarkan pendekatan Value of Statistical Life (VOSL).

Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan pembinaan laluan motosikal lebih selamat dan khusus di semua jalan yang sesuai.

Sasaran mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030 bukan sekadar angka yang sedap disebut dalam mesyuarat tetapi mesti diterjemahkan kepada tindakan yang boleh dilihat dan dirasai pengguna jalan raya.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita Utusan Malaysia

×