INSIDEN dua pelancong cedera selepas dihempap runtuhan struktur sebuah bangunan warisan berusia 81 tahun baru-baru ini mengingatkan kita bahawa pemeliharaan warisan perlu bergerak seiring dengan keselamatan awam.
Kejadian itu bukan kes terpencil. Pada 30 Disember 2025, seorang lelaki turut cedera selepas dihempap kayu alang yang jatuh daripada sebuah premis lama di Jalan Gurdwara, George Town, Pulau Pinang.
Apabila insiden seumpama ini berulang dalam tempoh singkat, adakah langkah pencegahan benar-benar dilaksanakan atau hanya digerakkan selepas kejadian berlaku.
Keruntuhan struktur lazimnya tidak berlaku tanpa petanda. Rekahan, perubahan bentuk, kebocoran, pereputan, kakisan dan kelemahan sambungan boleh menjadi amaran awal.
Persoalannya, adakah tanda tersebut diperiksa serta ditangani sebelum mengancam nyawa?
Tanpa pemeriksaan, penyelenggaraan dan pemantauan yang sistematik, tahap keselamatan bangunan boleh merosot dari semasa ke semasa.
Cabaran lebih besar dihadapi bangunan warisan yang banyak menggunakan bahan serta teknik tradisional seperti kayu, batu bata lama dan mortar kapur.
Pendedahan kepada hujan, kelembapan, pencemaran, serangan anai-anai, getaran lalu lintas serta penggunaan berterusan boleh mempercepat kemerosotan bahan.
Justeru, pengurusan bangunan lama perlu berasaskan keadaan sebenar dan tahap risiko. Penyelenggaraan tidak sepatutnya hanya dilakukan apabila kerosakan sudah ketara atau aduan diterima.
Pemeriksaan berkala oleh pihak kompeten seperti jurukur bangunan, jurutera struktur, konservator berdaftar dan pakar berkaitan membolehkan keadaan struktur, bahan binaan serta potensi bahaya dinilai secara menyeluruh.
Langkah ini membantu pemilik dan pihak berkuasa menentukan tindakan pembaikan sebelum kecacatan berkembang menjadi kegagalan serius.
Malangnya, budaya penyelenggaraan di negara ini masih reaktif. Penyelenggaraan pencegahan bukan sahaja mengurangkan risiko, malah mampu mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi.
Keperluan tersebut semakin penting ketika sektor pelancongan berkembang. Malaysia merekodkan 42.2 juta pelawat pada 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan kunjungan memberi manfaat ekonomi, tetapi pada masa sama menuntut destinasi warisan berada dalam keadaan selamat.
Malaysia sebenarnya mempunyai mekanisme perundangan untuk menangani risiko berkenaan.
Seksyen 85A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengarahkan pemeriksaan apabila terdapat alasan munasabah bahawa sesebuah bangunan tidak selamat atau boleh membahayakan orang awam.
Namun, keberkesanan peruntukan bergantung pada pelaksanaan yang proaktif. Bangunan berisiko tinggi perlu dikenal pasti berdasarkan umur, keadaan fizikal, tahap penggunaan, lokasi dan jumlah pengunjung.
Pendekatan berasaskan risiko membolehkan sumber pemeriksaan disalurkan kepada premis yang paling memerlukan perhatian.
Konservasi bukan bermaksud mengekalkan rupa asal bangunan tanpa mengambil kira keselamatan. Sebaliknya, pemeliharaan nilai sejarah perlu diseimbangkan dengan keperluan pengguna.
George Town dan Melaka, misalnya, merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang terus berfungsi sebagai ruang ekonomi, komuniti dan kehidupan bandar.
Bangunan warisan sewajarnya dilihat sebagai aset hidup yang memerlukan pengurusan profesional dan pemantauan berterusan.
Langkah yang perlu diberi keutamaan iaitu mewujudkan inventori bangunan berisiko tinggi, melaksanakan pemeriksaan profesional mengikut tahap risiko, memperkukuh penguatkuasaan Seksyen 85A, menggunakan teknologi seperti
Pemodelan Maklumat Bangunan Bersejarah (HBIM), pengimbasan laser tiga dimensi dan dokumentasi digital serta meningkatkan kesedaran pemilik mengenai kepentingan penyelenggaraan.
Warisan negara tidak seharusnya menjadi ancaman kepada masyarakat. Setiap kerosakan lazimnya memberikan tanda awal. Yang penting ialah kesediaan kita mengenal pasti, memahami dan bertindak sebelum berlaku tragedi.
Dengan budaya pemeriksaan berkala, penyelenggaraan konsisten dan pengurusan aset yang proaktif, khazanah sejarah dapat dipelihara tanpa mengorbankan keselamatan awam. – UTUSAN
DR. MOHD. NURFAISAL BAHARUDDIN
Fakulti Alam Bina UiTM &
Jurukur Bangunan Berdaftar Malaysia (MyRBS),
Konservator Berdaftar,
Jabatan Warisan Negara (JWN)








