PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sememangnya satu perkembangan besar dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Ia boleh ditafsirkan sebagai usaha memperluas ruang kebebasan akademik dan memberi lebih kepercayaan kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan terhadap isu berkaitan masyarakat dan negara.
Namun, pemansuhan AUKU tidak seharusnya ditafsirkan sebagai lesen untuk mahasiswa bertindak sesuka hati atas nama kebebasan bersuara sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dan huru-hara.
Kebebasan mempunyai sempadan. Dalam sebuah negara berperlembagaan yang mengamalkan demokrasi dan kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara bukan bermaksud seseorang bebas menghina, mengugut, melakukan provokasi, menyebarkan fitnah atau mencetuskan ketegangan sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Hak bersuara memang perlu dipertahankan, khususnya di institusi pengajian tinggi. Universiti wajar menjadi ruang untuk mahasiswa berfikir secara kritikal, berdebat secara terbuka dan mencabar sesuatu pandangan berdasarkan hujah serta fakta. Mahasiswa perlu dididik menjadi golongan yang berani menyatakan pendirian tanpa dikongkong idealisme dan kreativiti mereka.
Namun, kebebasan mesti datang bersama tanggungjawab. Mahasiswa yang matang bukanlah mereka yang paling lantang atau agresif, sebaliknya mampu mempertahankan pendirian tanpa mengorbankan adab, fakta dan keharmonian.
Walaupun AUKU dimansuhkan, Malaysia masih mempunyai pelbagai undang-undang lain yang mengawal perlakuan seseorang. Undang-undang berkaitan keselamatan, ketenteraman awam, komunikasi, fitnah dan jenayah tetap terpakai kepada semua rakyat, termasuk mahasiswa.
Kebebasan bukan bermakna boleh melakukan apa sahaja secara sembrono tanpa menghiraukan kepentingan orang lain kerana keharmonian dan kestabilan merupakan asas kepada apa yang dinikmati negara hari ini.
Kerana yakin terhadap keharmonian dan kestabilan itulah kerajaan berani mengambil langkah memansuhkan AUKU. Ia seolah-olah melepaskan rantai yang membelenggu mahasiswa selama 55 tahun.
Ini bermakna seseorang tidak boleh menggunakan alasan “saya bebas bersuara” untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap apa yang diucapkan atau dilakukan.
Kebebasan di kampus juga tidak sepatutnya berubah menjadi budaya politik melampau. Universiti bukan gelanggang mahasiswa diperalatkan oleh mana-mana kelompok politik. Mereka perlu diberi ruang mengenali politik dan dibimbing supaya mampu membezakan antara perjuangan prinsip dengan permainan politik kepartian.
Pemansuhan ini seharusnya menjadi titik permulaan kepada budaya baharu di universiti. Pentadbiran perlu lebih terbuka, pensyarah lebih bebas menjalankan wacana akademik dan mahasiswa lebih berani menyatakan pandangan.
Namun, kebebasan mesti disertai disiplin. Kerajaan membuka ruang dan mahasiswa pula perlu membuktikan ruang itu mampu digunakan secara bertanggungjawab. Jangan sampai kebebasan yang diberikan disalahgunakan sehingga mengundang kembali keperluan kepada kawalan yang lebih ketat.
Kebebasan bukan bermaksud bertindak melulu, sebaliknya berani menyuarakan pandangan sambil memahami batas undang-undang, menghormati hak orang lain dan menjaga keharmonian negara. – UTUSAN
Aznan Bakar ialah Pemangku Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
AUKU mansuh tidak bermakna boleh bebas melulu

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved