KALAU sebut ikan sungai, mesti ramai kata hanyir. Kadang-kadang ada rasa tanah atau lumpur. Ya, itulah sebabnya saya tidak makan ikan sungai. Namun, kali ini saya ‘mengalah.’
Seorang pekerja Warung Nasi Talam Mak Tam di Lenggong, Perak beria-ria suruh cuba. Termakan pujukan adik itu, saya cabar diri makan ikan kerai bakar yang merupakan antara menu istimewa gerai tersebut.
Memang betul, langsung tiada bau dan rasa hanyir tatkala saya jamahnya. Bukan saya sahaja, rupa-rupanya ramai lagi pelanggan seperti diceritakan tauke kedai, Mak Tam yang pada mulanya menolak hidangan ikan air tawar, sudahnya licin pinggan masing-masing.

WARUNG NASI TALAM MAK TAM
Lokasi: Dataran Tasik Raban, 33000 Lenggong, Perak.
Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 4 petang setiap hari kecuali Jumaat tutup.
Lantas saya tanya Mak Tam atau nama sebenarnya, Nor Azizah Buyong, 64, rahsia resipinya.
“Tiada apa-apa rahsia. Hanya rendam dengan air asam, basuh ikan bersih-bersih.
“Tapi yang pasti, kerai ini memang ikan liar dan rare,” katanya.
Memang rezeki saya pada hari itu. Saya cukup bertuah kerana ikan kerai memang jarang-jarang dapat.
Apatah lagi ikan kerai bakar yang saya jamah rasanya manis, isinya lembut dan segar. Jelas Mak Tam, bukan sahaja kerai, ikan-ikan sungai lain seperti tenggalan, loma, kelabau dan talapia merupakan tarikan utama pengunjung yang mahu menjamu selera di Dataran Tasik Raban.
Ikan-ikan tersebut sememangnya jarang dijumpai, susah hendak dapat. Bekalan ikan-ikan ini diperoleh daripada nelayan-nelayan yang memukat di Tasik Raban, bukan dari luar kawasan.
Menangkap ikan menjadi punca rezeki utama penduduk kampung di situ sejak dari dahulu. Itulah sebab kawasan berhampiran dinamakan Kampung Pengkalan Ikan.

Kalau waktu petang, boleh tengok nelayan pukat ikan di tepi tasik. Ayah Mak Tam sendiri pun dahulu kerja nelayan.

Mengalir hingga ke Empangan Chenderoh dan Kuala Kangsar menjadikan air Tasik Raban sentiasa bersih sekali gus menghasilkan ikan-ikan yang sihat serta segar.
Bekalan yang segar itulah yang membuatkan menu ikan bakar di gerainya cukup spesial, dimakan bersama sambal resipi sendiri.
Malah Mak Tam tidak lokek berkongsi resipi sambal tersebut. Empat bahan mentah utama kena ada iaitu bawang Holland, serai, cabai kering dan kelapa parut.
Namun, ramai pelanggannya yang cuba buat bagi maklum balas yang rasanya tidak sama. Mungkin kena air tangan Mak Tam juga baru menjadi.
Bagi yang tidak suka ikan, boleh cuba ayam bakar. Lebih istimewa, makanan dipesan dihidangkan dalam talam bersama nasi, ulam-ulaman dan pilihan lain ikut cita rasa pelanggan serta satu jag air.
Itulah sebab gerainya dinamakan nasi talam. Kalau di restoran atau kedai makan biasanya dipanggil set.
Makan pula dengan pekasam ikan yang sememangnya terkenal di daerah ini, pasti bertambah nasi. Tambah membangkitkan selera, angin sepoi-sepoi bahasa dari Tasik Raban meniup lembut ke muka.
Rasa tenang, tidak rugi datang dari jauh dapat pemandangan cantik dan mendamaikan. Bukan sahaja lazat, harga makanan di gerai Mak Tam bagi saya adalah murah.
Satu talam penuh yang boleh dimakan hingga empat orang hanya RM40. Mana nak dapat harga macam itu dalam keadaan ekonomi sekarang yang kian mencabar.
Para pelanggannya pula datang dari banyak kawasan malah sejauh Melaka dan Johor. Semasa saya tiba, waktu operasi sudah hampir tamat dan masih ramai pelanggan baru sampai.
Bagaimanapun, Mak Tam tetap menyambut mesra dan mengalu-alukan kedatangan kami apatah lagi apabila diberitahu yang saya datang dari jauh.
Katanya, selagi ada stok ikan, dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengecewakan harapan pelanggan yang mahu datang makan.
Mak Tam mengusahakan gerai makan di tepi Tasik Raban bersama suami, Pak Tam dan anak-anak sejak Januari lalu. Kerja membakar dan memanggang diserahkan kepada Pak Tam yang memang ‘pakar.’
Sebelum ini mereka berniaga di Pengkalan Pipit selama lebih tiga tahun. Waktu operasi Warung Nasi Talam Mak Tam adalah dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang, Isnin hingga Ahad kecuali Jumaat tutup.
Namun, Jumaat pun kadang-kadang Mak Tam berniaga juga sekiranya ada tempahan khas.
Ate, moh kite ke Warung Nasi Talam Mak Tam!-UTUSAN











