PETALING JAYA: Datuk Ab Ghani Hassan masih mempertimbangkan keputusan untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan badan induk itu pada 17 September ini.
Meskipun sudah dimaklumkan layak dicalonkan bagi kerusi berkenaan, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu masih belum membuat sebarang keputusan untuk menerima atau menolaknya.
Menurut Ab Ghani, tumpuanya ketika ini lebih terarah kepada persiapan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.
“Saya dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pertandingan bahawa saya layak untuk bertanding Presiden (FAM), tetapi saya masih mempertimbangkan keadaan ini.
“Kita di MFL juga sedang bersedia untuk memulakan musim baharu. Jadi, saya lebih menjurus ke arah itu terlebih dahulu untuk memastikan saingan Liga M musim 2026/2027 berjalan dengan baik dan lancar, Insya-Allah,” katanya.
Ab Ghani berkata, keputusan untuk menerima pencalonan bukan perkara yang boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia perlu mengambil kira proses serta sokongan yang diperlukan bagi membolehkan seseorang calon bertanding.
Katanya, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan ahli gabungan yang mencalonkannya, namun masih belum bersedia untuk mengesahkan hasrat merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.
“Saya pun susah hendak cakap tentang perkara ini. Perlu ada pencalonan dan cukup pencalonan. Saya telah dimaklumkan oleh Jawatankuasa Sekretariat Kongres dan mereka menghantar surat kepada saya.
“Saya masih lagi tidak membuat apa-apa keputusan tentang perkara ini,” katanya.
Keputusan Ab Ghani nanti dijangka menjadi antara perkara yang dinantikan kerana penerimaan pencalonannya berpotensi menambah sengit persaingan untuk menerajui FAM bagi penggal akan datang.
Selain Ab Ghani, turut dicalonkan untuk merebut kerusi No.1 FAM ialah bekas Presiden badan induk itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Datuk Seri Shahril Mokhtar dari Selangor.-UTUSAN











