PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka boleh menjadi lebih daripada sekadar medan untuk menentukan siapa membentuk kerajaan negeri. Ia juga akan menjadi ujian paling jelas terhadap sejauh mana parti Melayu benar-benar serius bercakap soal penyatuan, khususnya selepas pengalaman kerjasama pembahagian kerusi di Negeri Sembilan.
Sanggupkah UMNO dan Barisan Nasional (BN) melepaskan beberapa daripada 21 kerusi kepada Perikatan Nasional (PN) atas nama penyatuan Melayu? Inilah ukuran keikhlasan yang sebenar.
Selama ini, seruan penyatuan Melayu sering kedengaran apabila pilihan raya semakin hampir. Semua bercakap mengenai pentingnya mengelakkan perpecahan undi Melayu, pertandingan sesama sendiri dan kemenangan yang akhirnya hanya membuka ruang kepada pihak lain. Namun, apabila tiba masa pembahagian kerusi, ceritanya boleh berubah.
Kerusi yang dianggap sebagai kubu tradisi mula dilihat sebagai hak parti. Kawasan yang pernah dimenangi menjadi milik politik yang sukar dilepaskan. Masing-masing mahu lebih banyak kerusi kerana jumlah kerusi bukan sahaja menentukan peluang membentuk kerajaan, malah menjadi ukuran kekuatan dan pengaruh selepas pilihan raya.
Sebab itu, Melaka boleh menjadi medan untuk menguji sama ada slogan penyatuan Melayu itu benar-benar mempunyai harga yang sanggup dibayar.
Jika UMNO dan BN percaya bahawa perpecahan undi Melayu merupakan masalah besar, melepaskan sebahagian kerusi kepada PN mungkin dilihat sebagai pengorbanan politik. Begitu juga PN perlu bersedia melakukan perkara sama di kawasan tertentu jika itu boleh mengelakkan pertandingan yang hanya menguntungkan pihak ketiga.
Namun, ada satu lagi sudut yang perlu dilihat secara jujur. Penyatuan tidak semestinya bermaksud UMNO perlu menyerahkan kerusi secara percuma. Dalam politik, setiap parti mempunyai sejarah, penyokong dan kawasan kekuatan masing-masing. UMNO mempunyai alasan untuk mempertahankan kerusi yang dianggap sebagai miliknya manakala PN juga mempunyai hak untuk menuntut kawasan yang diyakini boleh dimenangi.
Atas sebab itu, rundingan pembahagian kerusi perlu berasaskan realiti politik, bukan semata-mata sentimen. Di sinilah pengalaman Negeri Sembilan menjadi penting. Jika kerjasama pembahagian kerusi berjaya menghasilkan persefahaman, ia sepatutnya menjadi asas kepada pendekatan yang lebih besar.
Tetapi jika selepas mencapai persetujuan, setiap pihak kembali mengira keuntungan sendiri, maka penyatuan itu tidak lebih daripada strategi pilihan raya sementara.
Apa pun keputusan kerjasama di Negeri Sembilan, ia tidak seharusnya berakhir dengan sikap pentingkan diri sendiri. Jika matlamatnya benar-benar untuk mengurangkan pertembungan sesama Melayu, maka semua pihak perlu bersedia kehilangan sesuatu.
Tidak mungkin semua pihak mahu menang semua kerusi. Dalam rundingan, ada yang perlu memberi dan ada yang menerima. Itulah harga sebuah kompromi.
PRN Melaka juga boleh menjadi ujian terhadap kepimpinan UMNO dan PN. Adakah mereka sanggup meletakkan kepentingan lebih besar di hadapan kepentingan parti? Atau akhirnya masing-masing akan kembali kepada formula lama mempertahankan sebanyak mungkin kerusi atas alasan peluang menang?
Jawapan kepada persoalan itu akan menentukan sama ada penyatuan Melayu benar-benar sebuah agenda politik atau sekadar slogan bermusim. – UTUSAN
Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Sejauh mana keikhlasan penyatuan Melayu?

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved