Inspirasi Nims dalam variasi citarasa tempatan - Utusan Malaysia

Inspirasi Nims dalam variasi citarasa tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: NIMS International Group Sdn. Bhd. memperkenalkan tiga produk baharu menerusi koleksi NIMS Chocotub® – Taste of Malaysia, di samping melancarkan kempen pengguna NIMS Beli & Menang 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mansor Shah Wahid di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, semalam.

Tiga produk berkenaan menggunakan perisa yang diinspirasikan daripada makanan dan minuman popular tempatan iaitu Teh Tarik Crunch, Onde Onde Crunch serta Sirap Bandung Laici Crunch.

Ketua Pegawai Eksekutif NIMS International Group Sdn. Bhd., Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, pembangunan produk itu merupakan antara usaha syarikat memperkenalkan variasi makanan berasaskan citarasa tempatan.

“Setiap perisa mempunyai elemen yang dekat dengan citarasa dan pengalaman rakyat Malaysia.

“Kami melihat produk makanan sebagai salah satu cara untuk mengetengahkan elemen tempatan apabila memasuki pasaran luar,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu.

Pada masa sama, mereka turut melancarkan kempen NIMS Beli & Menang 2026 yang berlangsung dari 8 Ogos hingga 8 November ini.

Tengku Norhanim berkata, kempen berkenaan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000 dengan sebuah kereta Proton e.MAS sebagai hadiah utama.

Katanya, penyertaan dibuka kepada pengguna yang membeli produk keluaran NIMS, dengan kempen dilaksanakan menerusi platform e-dagang, pasar raya dan rangkaian ejen rasmi syarikat.

Dalam perkembangan lain, Tengku Norhanim berkata, NIMS memeterai kontrak selama dua tahun dengan CP ALL Thailand bagi pengedaran produknya di rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven di negara itu.

Menurutnya, produk NIMS dijangka diedarkan di lebih 20,000 premis 7-Eleven di Thailand.

“Usaha untuk memasuki pasaran Thailand ini sudah bermula sejak 2021 dan ia mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Penghantaran ke Thailand dijangka dilakukan tidak lama lagi dari kilang kami di Meru, Klang,” katanya.

Beliau berkata, pengembangan ke Thailand itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperluaskan pasaran eksport selain pasaran sedia ada.

Katanya, produk keluaran NIMS kini telah memasuki lebih 27 negara.

“Kami mahu terus membangunkan produk yang mempunyai kaitan dengan citarasa tempatan, tetapi pada masa sama mempunyai potensi untuk diterima di pasaran luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×