BERSIH cadang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujud pantau institusi Islam

BERSIH cadang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diwujud pantau institusi Islam

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu diwujudkan bagi melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap institusi Islam termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu berkenaan. 

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Faisal Abdul Aziz berkata, jawatankuasa itu dicadangkan ditubuhkan di bawah Perkara 82 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dengan keahliannya terdiri daripada Ahli Parlimen beragama Islam daripada pelbagai parti.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan institusi Islam yang mengurus kepentingan umat Islam sentiasa tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang sekali gus mengelakkan skandal lama berulang.

“Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk membuka perbahasan laporan RCI berhubung isu TH di Parlimen pada 11 Ogos ini.

“Jawatankuasa khas itu boleh memainkan peranan memanggil pihak berkaitan termasuk pakar dalam bidang korporat, kewangan dan pelaburan bagi mendapatkan pandangan serta syor terhadap isu yang melibatkan institusi Islam.

“Mekanisme tersebut penting memandangkan institusi seperti TH mengurus kepentingan besar umat Islam di negara ini dan memerlukan pengawasan berterusan daripada Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, perbahasan di Parlimen penting kerana ia (Parlimen) adalah institusi rakyat yang mempunyai mandat bagi membahas perkara besar seperti RCI TH. 

“Ia merupakan gambaran kepada ketelusan yang amat penting untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, BERSIH turut menyambut baik syor dikemukakan RCI supaya sebuah badan bebas diwujudkan bagi menasihati dan membantu Perdana Menteri khususnya dalam urusan pemilihan Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif serta Ahli Lembaga Pengarah TH. 

“Cadangan itu mampu memperkukuhkan tadbir urus institusi berkenaan selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan TH pada masa hadapan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN