300,000 individu bankrap di Malaysia

300,000 individu bankrap di Malaysia

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh diiringi Abu Bakar Manat meletakkan tapak tangan sebagai simbolik perasmian Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di Ayer Keroh, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jumlah individu yang diisytiharkan bankrap di negara ini mencecah lebih 300,000 di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Abu Bakar Manat berkata, bagi tempoh 2022 hingga Jun lalu, individu bankrap berusia 35 hingga 44 tahun adalah sebanyak 10,655 kes atau 39 peratus daripada keseluruhan kes yang direkodkan.

Katanya, trend kebankrapan dalam kalangan golongan muda berusia bawah 30 tahun turut menunjukkan peningkatan yang majoritinya terjerumus dengan masalah hutang akibat kegagalan mengurus kewangan dan gaya hidup.

Beliau berkata, kebankrapan dalam kalangan belia tidak boleh dipandang ringan kerana memberi gambaran semakin ramai dibebani hutang pada usia muda.

“Trend ini sangat membimbangkan kerana kita melihat ramai anak muda hari ini terlalu terpengaruh dan takut ketinggalan berbanding rakan-rakan serta individu yang mereka ikuti di media sosial.

“Mereka melihat orang lain memiliki telefon pintar baharu, kereta mewah atau menjalani gaya hidup yang kelihatan serba mewah, lalu mahu melakukan perkara sama walaupun kemampuan kewangan tidak mengizinkan.

“Ramai yang mahu dilihat berjaya dan hidup mewah seperti dipaparkan oleh pempengaruh di media sosial, sedangkan hakikatnya mereka mencipta pelbagai hutang semata-mata untuk mengekalkan imej tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di Ayer Keroh di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, kebanyakan individu bankrap bukan disebabkan satu hutang, sebaliknya berpunca daripada kegagalan mengurus pelbagai komitmen kewangan seperti pinjaman peribadi, pembiayaan perumahan, pinjaman kenderaan dan penggunaan kad kredit secara berlebihan.

Katanya, ada juga yang mengambil pinjaman baharu bagi menampung hutang sedia ada sehingga akhirnya tidak mampu membayar ansuran bulanan, sebelum tindakan kebankrapan difailkan oleh pemiutang.

“Apabila komitmen kewangan semakin tinggi dan pendapatan tidak lagi mampu menampung bayaran balik, mereka akhirnya gagal melunaskan hutang sebelum diisytiharkan bankrap oleh mahkamah atas permohonan pihak pemiutang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN