Wartawan Utusan Malaysia terima pingat kebesaran Perlis - Utusan Malaysia

Wartawan Utusan Malaysia terima pingat kebesaran Perlis

WARTAWAN Utusan Malaysia, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib menerima Pingat Jasa Baik (PJB) pada majlis penganugerahan darjah kebesaran dan pingat negeri Perlis bersempena ulang tahun keputeraan ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi sesi ketiga di Istana Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Hafiz Abd. Mutalib menerima penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis bersempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Pada majlis penuh istiadat di Istana Arau di sini semalam, Mohd. Hafiz, 40, menerima Pingat Jasa Baik (PJB) bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian dalam bidang kewartawanan dan usaha menaikkan nama negeri ini melalui penulisan-penulisan yang dihasilkan.

Mohd. Hafiz berkecimpung dalam bidang kewartawanan hampir 20 tahun dan memenangi pelbagai anugerah kewartawanan serta pengiktirafan lain khususnya semasa bertugas di Kuala Lumpur, Kelantan dan Perlis.

Bapa kepada tiga anak itu banyak menghasilkan penulisan, berita dan rencana berkaitan negeri ini khususnya dalam aspek pembangunan dan melonjakkan pelancongan di Perlis.

Penganugerahan pingat sesi ketiga yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Arau itu disampaikan oleh Tuanku Syed Sirajuddin.

Mengiringi baginda ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan berangkat sama pada majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, kerabat-kerabat diraja, para pembesar negeri dan barisan Exco kerajaan negeri.

Seramai 246 penerima telah dikurniakan darjah kebesaran dan pingat pada sesi kedua dan ketiga sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan cemerlang kepada negeri dan negara.

Anugerah yang dikurniakan pada majlis berkenaan adalah Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) membabitkan 14 penerima; Darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) (15); Pingat Mahkota Perlis (PMP) (68);  Pingat Pekerti Terpilih (PPT) (dua); Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (48); PJB (85) dan Pingat Perkhidmatan Lama (PPL) seramai 14 penerima.

Mohd. Hafiz berkata, beliau menjunjung kasih atas penganugerahan pingat oleh Raja Perlis itu.

Katanya, penghargaan tersebut menyuntik semangatnya untuk terus menghasilkan penulisan-penulisan berkualiti demi manfaat seluruh masyarakat dan negeri.

“Saya juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Utusan Malaysia, kerajaan negeri dan semua pihak yang banyak memberi sokongan serta kerjasama baik sepanjang kerjaya sebagai wartawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN