TELUK INTAN: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua cucu tirinya yang masing-masing berusia empat dan tujuh tahun dalam kejadian yang berlaku pada 2025 dan Jun lalu.
Tertuduh berusia 57 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah iaitu datuk tiri dengan mangsa didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia empat tahun lima bulan itu bagi maksud seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 12.30 tengah hari, 6 Jun 2026.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa bagi pertuduhan kedua iaitu melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menyebabkan kanak-kanak itu melihat gambaran visual aktiviti bersifat seksual di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding sama, lelaki itu turut dituduh bagi dua pertuduhan amang seksual di bawah Seksyen 14(a) dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 terhadap seorang lagi cucu tirinya yang berusia tujuh tahun 10 bulan.
Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di lokasi sama pada pukul 12.30 tengah hari pada tahun 2025.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan dan Anisah Pisol memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan selain meminta tertuduh mendapatkan khidmat peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Ogos depan.-UTUSAN










