PETALING JAYA: Lantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera wajar dan perlu dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah tersebut mampu memberikan peluang pekerjaan kepada bekas tentera, disamping meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar.
“Antara dapatan utama sepanjang tempoh pelaksanaan, sifar kes buli direkodkan dengan tahap disiplin pelajar meningkat. Pemantauan lebih konsisten serta tindak balas terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar lebih pantas.
“Selain itu, suasana asrama lebih selamat, kemas dan kondusif. Memberi kesan positif kepada para guru yang tidak lagi terbeban dengan tugas warden sebaliknya fokus kepada tugas hakiki mengajar dan mendidik pelajar,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, Mara juga bersedia berkongsi dengan Kementerian Pendidikan berhubung laporan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa dalam kalangan bekas tentera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dijalankan selama sembilan bulan.
Malah katanya, kajian turut mendapati pencapaian akademik pelajar turut meningkat, selain maklum balas pelajar sangat positif berdasarkan tinjauan dan lawatan di lapangan.
“Gabungan elemen ketegasan dan nilai keibubapaan ini menjadikan mereka bukan sekadar warden, tetapi pembimbing dan pendidik kepada anak-anak di asrama,” katanya.
Berpandukan dapatan kajian ini, beliau berkata, Mara sudah membuat ketetapan memperluas pelaksanaan inisiatif ini ke 10 lagi MRSM bermula bulan lalu sebagai langkah pengukuhan awal, sebelum diperluas ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun depan.
“Pendekatan ini diyakini mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama secara lebih tersusun, profesional dan berkesan.
“Saya juga sudah meminta pasukan UPM untuk membantu membangunkan modul latihan khusus kepada warden yang bakal dilantik.
“Modul ini akan memberi penekanan bukan saja kepada aspek disiplin dan keselamatan tetapi pembentukan nilai kemanusiaan, empati dan keibubapaan agar mereka benar-benar menjiwai peranan mentarbiah anak-anak MRSM seperti ibu bapa di asrama selari dengan Falsafah Pendidikan Mara,” katanya.
Beliau berkata, ramai bekas anggota tentera menamatkan perkhidmatan sekitar umur 38 hingga 45 tahun dan dalam usia masih produktif dan mereka boleh dimanfaatkan untuk menyertai pula sektor pendidikan khususnya membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar.
“Selain itu, ia antara alternatif boleh menyelesaikan isu kebajikan veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia), khususnya veteran tidak berpencen, yang sering dibangkitkan.
“Mereka menamatkan khidmat ketika masih produktif tetapi tidak semua menikmati pencen bulanan, bergantung kepada tempoh perkhidmatan yang diiktiraf,” katanya. – UTUSAN










