KUALA LUMPUR: Meskipun bakal mencecah usia 96 tahun pada 10 Julai ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap bersemangat untuk terus berada dalam gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Baginya, pendirian tersebut bukan kerana kepentingan peribadi sebaliknya sebagai sumbangan apabila ada pihak yang masih memerlukan khidmat dan pengalamannya sebagai pemimpin.
“Saya sudah lama nak bersara, sejak 2003 tapi ramai yang datang minta saya buat sesuatu sebab tidak puas hati (dengan pemimpin kerajaan).
“Saya tidak begitu tamak, bukan nak jaga kesenangan diri saya saja. Kalau saya boleh sumbang dalam apa bentuk pun, saya sumbangah,” kata bekas Perdana Menteri itu kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurutnya, buat masa ini beliau akan terus mengetuai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan tiada hasrat mahu mewujudkan sebarang kerjasama dengan parti-parti lain atau menyertai mana-mana gabungan politik.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan permuafakatan dengan parti-parti lain yang sehaluan dengan Pejuang pada PRU-15.
Ditanya mengenai tindakan Mahkamah Tinggi pada 25 Jun lalu memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat keputusan rayuan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik sejak 8 Januari lalu, Dr. Mahathir berpendapat, perkara itu ada kaitan dengan politik.
“Saya khuatir dengan menteri ini (Hamzah). Mereka tidak mahu mendaftarkan Pejuang bukan sebab undang-undang. Undang-undang kita patuhi 100 peratus tapi kerana politik.
“Kerajaan nak tentukan apabila ada pilihan raya umum, mereka akan kurangkan (jumlah) parti-parti lawan antaranya Pejuang.
“Sekarang kita ada empat orang saja wakil rakyat tapi pengikut kami ramai. Orang yang dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), memang sokong kami,”
katanya. – UTUSAN











