SHAH ALAM: Asia Leaders in Cinematics Incubation (ALCI) melancarkan visi baharu bagi memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif negara menerusi gabungan industri perfileman, teknologi digital, keusahawanan kreatif dan pembangunan bandar kreatif di bawah satu platform.
Dengan tema From Movie to Wallet to City, inisiatif itu disifatkan sebagai strategi jangka panjang yang menjadikan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi sekali gus memberi manfaat kepada penggiat industri, pelabur, usahawan, komuniti dan sektor pelancongan.
Pengasas ALCI, Aaron Lim berkata, pihaknya bukan sekadar mahu menghasilkan filem, sebaliknya membangunkan sebuah ekosistem kreatif yang mampu memberi impak ekonomi secara mampan.
“Kisah membentuk budaya, budaya mencipta peluang dan peluang menjana pertumbuhan ekonomi. ALCI bukan sekadar menghasilkan filem, tetapi membina sebuah ekosistem kreatif yang mampu memberi nilai mampan kepada industri, masyarakat dan generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran visi ALCI di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, bagi merealisasikan matlamat tersebut, ALCI turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa rakan strategik dari dalam dan luar negara yang bakal memperkukuh pembangunan industri kreatif negara.
Antara kerjasama rakan strategik dan projek yang diumumkan Horizon Film Entertainment Sdn Bhd untuk filem-filem dari Taiwan, Indonesia dan Thailand, Synergy Media (appiness Chopstick- Hong Kong), filem Hear the Lihht dengan Singapura, Asia Showbiz Talent Malaysia dan Hong Kong , ABCS, Six in the City , program HRDC ‘Performing for Cameras, penghasilan filem tempatan berjudul Moyang.
Pada majlis sama, ALCI turut memperkenalkan beberapa inisiatif strategik termasuk Film in Malaysia, siri dokumentari 13 episod yang mempromosikan setiap negeri sebagai destinasi penggambaran bertaraf antarabangsa di samping mengetengahkan budaya, pelancongan, peluang pelaburan dan potensi ekonomi tempatan.
Turut diumumkan ialah pembangunan ALCI Digital Wallet, iaitu ekosistem dompet digital yang menghubungkan pengguna, peniaga dan industri kreatif menerusi ganjaran, pulangan tunai serta pengalaman hiburan.
Selain itu, ALCI akan memperkukuh inisiatif penerbitan bersama melibatkan syarikat tempatan dan antarabangsa bagi menghasilkan filem cereka, dokumentari, siri televisyen serta kandungan digital.
Usaha itu dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, pemindahan teknologi, pertukaran bakat dan menarik lebih banyak produksi antarabangsa menjalankan penggambaran di Malaysia.
Dalam masa sama, ALCI turut memperkenalkan visi Creative Economic City, iaitu pelan induk jangka panjang untuk membangunkan hab ekonomi kreatif bertaraf dunia yang menggabungkan studio filem, pendidikan, teknologi, pelancongan, inovasi dan pembangunan industri kreatif.
Majlis itu turut menyaksikan pelantikan ahli Lembaga Pengarah Strategik, Penerbit Bersekutu serta rakan kerjasama strategik bagi memperkukuh perkembangan ALCI di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Aaron berkata, ALCI mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan, pelabur, syarikat korporat, penerbit filem, penggiat industri kreatif, institusi pendidikan dan rakan strategik antarabangsa bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi kreatif serta destinasi penerbitan kandungan bertaraf dunia.










