Onn Hafiz selesai angkat sumpah Menteri Besar Johor - Utusan Malaysia

Onn Hafiz selesai angkat sumpah Menteri Besar Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kembali dilantik sebagai Menteri Besar.

Pelantikan itu susulan kejayaan BN merekodkan kejayaan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, semalam dengan memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 dipertandingkan.

Beliau yang memenangi kerusi DUN Machap sebelum ini telah diumumkan sebagai calon Menteri Besar Johor oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sepanjang tempoh berkempen.

Istiadat pelantikan berlangsung di hadapan Tunku Mahkota Ismail.

Turut hadir Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir.

Ini merupakan kali kedua Onn Hafiz dilantik ke jawatan itu selepas pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 pada 15 Mac 2022, susulan kemenangan BN pada PRN Johor Ke-15 pada 2022.

Ketika itu beliau dilantik menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad.

Beliau yang berbaju Melayu teluk belanga berwarna hitam dilihat ceria ketika meninggalkan pekarangan istana sambil melambai tangan kepada petugas media yang telah berkumpul sejak pukul 2 petang.

Kenderaan jenis Audi berwarna hitam dinaiki beliau dilihat meninggalkan pekarangan Istana Bukit Serene pada pukul 4.50 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×