Rakyat dah tiada apa nak kais! - Utusan Malaysia

Rakyat dah tiada apa nak kais!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya memang sentiasa mencetus kontroversi. Kata-katanya tajam. Individu yang dimaksudkan ialah UMMI HAFILDA ALI, adik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam wawancara kali ini, dia tak putus-putus mengulas soal politik. Katanya, politik ‘orang tua’ dah tak relevan, tak boleh berterusan kitar semula. Dari hal itu juga, katanya sistem pengurusan negara sekarang di musim pandemik jadi huru-hara, sampai rakyat ditimpa kesempitan hidup yang dahsyat.

Menyedari segala kemelut itu mendorong beliau mewujudkan gerakan politik baru, yang bakal mewarnai landskap politik tanah air.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ikuti wawancara ini yang cuba menyelami isi hati dan agenda personaliti ini, yang disertai wartawan ROSHIHAN ANNUAR YUB dan ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dibantu jurugambar FARIZ RUSADIO dan juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON.

MINGGUAN MALAYSIA: Buat apa sekarang? Bis­nes, think tank atau apa?

Saya buat bisnes sendiri. Di kala pandemik ketika ini saya fokus kepada perniagaan membekal sarung tangan getah, cecair sanitasi, topeng muka dan sebagainya untuk dieksport. Jika sebelum ini, saya dalam bidang pengiklanan dan fesyen. Tapi dalam senario yang mana kita tidak boleh bergerak ketika Covid ini, saya terpaksa hentikan sementara.

Difahamkan ada pendedahan politik yang ingin dibuat. Boleh perincikan?

Nak kata pendedahan, tidak melibatkan individu. Tapi skop yang lebih besar, iaitu hala tuju negara hari ini. Kalau kita tengok luahan rakyat yang marah atas apa yang berlaku hari ini. Macam-macam, dari segi ekonomi, ketidakstabilan politik dan sebagainya. Kini ada persepsi yang sangat buruk terhadap Malaysia. Jadi adakah rakyat terus berdiam, dimomokkan dengan berita yang menggula-gulakan oleh pemimpin kepada rakyat. Saya bukanlah nak mengaibkan sesiapa, tapi hari ini dah sampai masa untuk rakyat semua bangun dan sedar bahawa selama berpuluh tahun kita seolah-olah digula-gulakan, diperbodohkan, dibuli dan sebagainya. Masa untuk rakyat Malaysia bangun dan menyatakan hak kita masing-masing.

Bermakna puan tidak berpuas hati dengan kerajaan pada hari ini?
Sudah tentu saya memang tidak puas hati.

Atas sebab apa?
Kita tengok, walaupun abang saya sendiri menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan, kalau ikut jawatan, macam Timbalan Perdana Menteri. Tetapi ke mana dia bawa Malaysia? Ke mana dia bawa rakyat? Ke mana dia bawa ummah hari ini? Dari segi ekonomi hancur, dari segi Covid-19 yang tidak terkawal dan semakin bertambah, peluang pekerjaan yang semakin meruncing dan sekarang kita tengok kes bunuh diri yang saban hari berlaku. Dan mereka boleh diam, tidak ada sensitiviti sebagai pemimpin dan pemerintah. Buat buta kering, buat tak kisah. Sedangkan kalau kita baca dan buka media sosial hari ini jutaan luahan rakyat, maki hamun, marah, dendam, perasaan yang tidak gembira dari rakyat.

DAH TIADA YANG TINGGAL NAK DIKAIS

Puan ada terima mesej dan keluhan dari rakyat?
Banyak mesej peribadi yang saya terima di Facebook minta tolong, sampaikan ada yang minta tolong RM50 nak minta beli beras, beli lampin bayi. Itu tidak pernah berlaku sebelum ini, dan menunjukkan rakyat tengah susah dan daif ketika ini. Tanpa segan silu rakyat minta bantuan. Dan saya rasa ini dah keterlaluan. Kita faham Covid, kena lockdown dan sebagainya, tetapi ia mesti seimbang antara pemulihan kesihatan dan perancangan, perangkaan untuk memulihkan ekonomi. Semua harus seimbang. Kamu tak boleh hanya kata, lockdown sebulan, dua bulan, habis rakyat nak makan apa? Kita tengok di Amerika mati hampir 600,000 tapi dia tidak lumpuhkan ekonomi. Begitu juga di Rusia, London dan sebagainya. Bila kamu kata lockdown, sejauh mana lockdown itu memberi impak dan kesan kepada negara, rakyat dan ekonomi. Bila ada yang hubungi saya cakap, “saya kerja kantin, tapi sekarang sekolah tak buka, suami kerja buruh dah dibuang kerja, sekarang kami tak makan”. Saya menggeletar baca. Sekarang bukan lagi kais pagi makan pagi, tetapi dah tiada apa nak kais.

SEMUA TAK RELEVAN

Komen mengenai kewajaran agar kepimpinan negara dibarisi orang lama yang kaya pengalaman?
Saya menyeru kepada rakyat Malaysia, bangkitlah! Di Malaysia ini sejak saya dari darjah satu hingga tua bangka, balik-balik orang yang sama. Apa, dalam 32 juta ini tiada manusia lain? Anwar, Mahathir, Mahathir, Anwar, Zahid, pusing-pusing semua kat situ. Sampai bila? Kenapa rakyat Malaysia tidak matang. Come on! Beri peluang kepada orang baru. Kita tak boleh taksub kepada si polan si polan. Ketaksuban itu yang menghancurkan bangsa. Ketaksuban itu yang menghancurkan negara.

Kenapa bersungguh-sungguh kritik hal ehwal politik dan kepimpinan?
Bagi saya rakyat harus bangun dan bercakap yang benar. Bagi saya kepentingan rakyat itu lebih tinggi mengatasi segala-galanya. Kerana bila pilihanraya, rakyat memberi mandat kepada pemimpin. Jadi mereka kena laksanakan tugas dengan baik. Kalau kamu rasa tidak layak, lepaskan jawatan! Bagi saya ada orang yang tidak faham kenapa saya sibuk hal orang. Kenapa saya sibuk hal Najib, hal Anwar, hal Mahathir dan sesiapa. Bagi saya mudah bila kamu nak jadi pemimpin pastikan kamu bersih, ada arah tuju dan hala tuju yang cukup jelas. Kalau tidak kamu tak boleh jadi pemimpin. Baik kamu jadi orang biasa. Kamu nak jadi tunggang terbalik ke, kamu ada skandal seks ke, kamu buat benda tak betul ke, rakyat tak peduli sebab kamu orang biasa. Tapi bila kamu menawarkan diri sebagai pemimpin, pastikan kamu kena jadi lebih hebat dan bersih seribu kali dari orang lain. Walaupun sebelum tu kamu ada sejarah buruk, tetapi bila kamu menawarkan diri jadi pemimpin kamu kena buang segala kenistaan itu. Kamu kena fokus, apa tujuan aku jadi pemimpin, apa tujuan aku menggalas jawatan ini?

ADA AGENDA TUBUH PARTI

Siapa pemimpin yang layak di mata puan hari ini?
Dalam senario yang ada pada hari ini, satu pun tidak layak. Tetapi di luar kepompong yang ada, masih ramai. Dan saya ada perancangan ke arah itu, insya-Allah saya dah rangkakan satu rancangan. Setakat ini saya sudah ada 15 ke 20 orang personaliti yang sangat hebat di dalam negara, yang tidak termasuk dalam senarai perasuah, penyamun, penzina. Mereka adalah nama-nama yang sangat hebat. Insya-Allah, jika diizinkan Allah kita akan gabungkan, walaupun mungkin parti itu tidak diluluskan. Tetapi kita akan bergerak dalam gerombolan individu bebas yang sangat hebat kerana kita nak pimpin rakyat untuk memilih individu yang hebat dan bukan lagi parti. Parti-parti tak penting. Bukan boleh bawa masuk kubur.

Maknanya puan ingin tubuhkan parti baharu?
Mungkin! Saya tak nak umumkan apa-apa, hanya tunggu masa sahaja.

Tidak perlukan orang lama?
Tidak perlu. Sebab saya bercampur dengan semua. Saya tahu. Segala perangai dan kekotoran mereka, semua saya tahu.

ROSAKKAN PH DARI DALAM

Ada berkata, Datuk Seri Azmin jadi kuda trojan Tun Mahathir yang bertujuan untuk merosakkan Anwar dan PKR dari dalam. Komen puan?
Mungkin ada kebenarannya di situ, tetapi kesilapan Mahathir juga membaca gerak geri Azmin. Azmin ini boleh saya ibaratkan seperti dedalu. Bila dia nak gunakan kamu, dia akan pergunakan kamu. Dia sanggup bertindak seperti terlalu suci. Tapi bila dia dah sampai di atas dia singkirkan kamu. Ini yang berlaku kepada Mahathir dan saya masih ingat ketika Mahathir nak menjatuhkan Barisan Nasional, saya ada bercakap dengan dia. Saya kata hati-hati. Dua manusia ini, Azmin dan Anwar, kamu tak boleh percaya. Dia (Tun Mahathir) marah saya, ‘hang tok sah itu cerita lama, kamu pandang ke depan, benda yang lepas tu lepaslah. Tak apa, kita jadi positif,’ kata dia. Saya kata, ya kena positif, tapi saya lebih kenal abang saya. Mahathir tak terima kenyataan saya. Tapi akhirnya terbukti, Azmin tikam belakang dia. Dan sekarang dia marah atas apa yang berlaku. Dia kata tebuk atap, tebuk tingkap. Saya kata padan muka, kerana saya mengingatkan dia ketika itu. Tapi dia tak terima kata itu cerita lama.

TAK JILAT LUDAH SENDIRI

Puan banyak lontarkan rasa tidak berpuas hati dengan kerajaan hari ini, tetapi puan tidak sebut mengenai Pas. Apa pandangan puan pasal Pas?
Saya kata semua parti ini sama. Kita dah naik muntah tengok orang yang sama, balik-balik golongan yang tidak mempunyai pendirian. Dalam perjuangan dan prinsip hidup saya, sekali saya kata Azmin dan Anwar tidak layak pada 1997, sampai hari ini saya tidak jilat balik seperti Mahathir. Bila dia mahu pakai orang itu, dia pergi dan sanggup pergi penjara dan mahkamah, peluk dan cium. Apabila dia rasa tak mahu pakai orang itu, dia heret sampai ke penjara. Satu masa dahulu, Mahathir pernah berkata seorang yang ada isu moral tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin tetapi akhirnya beliau menghalalkan Anwar dan Azmin. Kes video Azmin mengapa tidak didedahkan? Satu ketika dahulu saya amat menyanjungi beliau tetapi kerana video Azmin dan Haziq Aziz, Mahathir terus membenarkan Azmin kekal menjadi menteri ekonomi, saya hilang hormat.

MESINGAN DI KEPALA

Puan sangat lantang dalam wawancara ini, tak takutkah?
Saya takut dengan Allah SWT, seperti saya kata tadi saya sudah pernah melalui fasa paling sukar dalam hidup saya iaitu apabila dengan mesingan M16 diacukan kepada saya dan gertakan polis ketika umur saya sekitar 28 tahun. Saya didera daripada pukul 12 malam sehingga subuh tanpa henti dan saya dilayan seperti penjenayah, bagi saya tiada benda nak takutlah.

TAK PAYAHLAH…

Desas desus terbaru kononnya Datuk Seri Hishammuddin bakal dilantik menjawat jawatan tertinggi manakala Azmin akan menjawat sebagai orang nombor dua. Apa komen puan?
Tak payahlah.

Ketika arwah ibu masih ada…

Hubungan puan dengan Azmin hari ini?
Sama. Tiada komunikasi, tiada pertemuan, tidak ada.

Berkenaan Azmin, puan selalu ungkapkan ayat ‘ketika arwah ibu masih hidup’, boleh perjelaskan?
Pasal ibu memang saya sensitif. Azmin banyak melukakan hati ibu saya. Saya bersama ibu sepanjang apa yang berlaku dalam keluarga, jadi saya tahu betapa hancur dan kecewanya hati dia. Ibu adalah tulang belakang yang sangat penting dalam hidup saya. Selama apa yang berlaku ke atas diri saya sebelum ini, ibu adalah kekuatan saya. Walaupun Azmin pegang jawatan tinggi tapi ibu tahu. Ibarat sekilas sekilas ikan di air, ibu tahu mana betul dan yang mana salah. Sebab itu ibu menyokong perjuangan saya. Sehinggakan dia sanggup hilang anak dia, walaupun Azmin bergelar Menteri Besar ketika itu. Arwah ibu pernah cakap, “kau Menteri Besar sekalipun aku tak peduli. Sebagai ibu aku tahu anak mana yang benar, anak mana yang salah”.

Apa perasaan puan menyaksikan semua ini?
Saya sedih sehingga ke akhir hayat, ibu tidak dapat melihat Azmin balik ke pangkal jalan. Dia buang ibu saya selama enam tahun setengah, kerana ibu tidak menyokong perjuangannya dalam PKR, akhirnya dia buang ibu saya. Dia tidak jenguk, tidak ziarah, tidak telefon. Ibu banyak menangis. Itu yang buatkan dia sangat sedih. Tetapi seminggu sebelum Azmin dilantik sebagai Menteri Besar, dia ada balik. Ibu sebagai ibu dia tetap menerima permohonan ampun dari anaknya. Ketika itu ibu berikan tiga syarat, pertamanya ibu minta dia taubat nasuha atas apa yang berlaku, Azmin jawab dia dah bertaubat ketika dia pergi umrah, mak saya kata okay, itu antara kau dengan Allah. Yang kedua dah berapa puluh tahun kau buang dan tak bertegur sapa dengan adik beradik, dan sebelum emak mati dan masuk kubur emak nak kau baik dengan adik beradik. Dia jawab okay. Dengan kakak-kakak semua dia boleh baik, tetapi bukan dengan saya. Dan emak saya tanya kenapa? Dia kata, nantilah. Dia tak boleh nak jawab soalan itu.

Syarat ketiga?
Yang ketiga, tolong tinggalkan Anwar Ibrahim. Sebagai ibu, mak nak kau tinggalkan Anwar Ibrahim”. Dia berjanji dengan ibu saya, dia kata “Min akan tinggalkan dia, cuma ada beberapa perjanjian yang Min terpaksa baik dengan dia, tapi Min berjanji akan tinggalkan dia”. Dan Alhamdullillah, hari ini dia dah tinggalkan Anwar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini