SEOUL: Korea Selatan akan melatih semua pasukan tenteranya sebagai pengendali dron menerusi rombakan menyeluruh terhadap strategi peperangan negara itu.
Menteri Pertahanan, Ahn Gyu-back berkata, setiap anggota tentera perlu berupaya mengendalikan dron seperti menggunakan senjata api peribadi.
Menurut kementerian itu, pelan berkenaan menyasarkan latihan kepada 500,000 anggota tentera yang diberi kuasa merangkumi pasukan darat, laut, udara dan marin untuk menjadi ‘pahlawan dron’.
Gyu-back berkata, peperangan di Ukraine dan Asia Barat membuktikan dron kini menjadi ‘pengubah permainan di medan perang’.
“Dron berkos rendah yang dikendalikan dalam jumlah besar sedang mengubah secara asas corak peperangan,” katanya sambil memberi amaran Korea Utara juga terus membangunkan keupayaan persenjataannya, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap kemudahan ketenteraan dan awam di Selatan.
Tentera Korea Selatan merancang untuk memperoleh kira-kira 11,000 dron komersial bagi tujuan latihan menjelang akhir tahun ini, meningkat kepada 60,000 unit menjelang 2029, bersama lebih 20,000 dron tempur boleh guna pakai menjelang 2030.
Seoul juga akan mempercepatkan pembangunan peluru jarak jauh buatan tempatan yang dikenali sebagai K-Lucas. Sistem itu mengambil nama dan konsep daripada dron Amerika Lucas, yang diinspirasikan daripada dron berani mati Iran, Shahed-136, digunakan secara meluas oleh Russia dalam perang di Ukraine.
Rancangan Korea Selatan juga merangkumi usaha memperluas sistem anti dron seperti senjata laser dan senjata gelombang mikro berkuasa tinggi.
Pengumuman itu dibuat ketika kebimbangan meningkat terhadap keupayaan dron Korea Utara, susulan insiden memalukan pada 2022 apabila lima dron kecil Korea Utara memasuki ruang udara Korea Selatan, sekali gus mendedahkan kelemahan pertahanan negara itu.
Satu daripada dron itu memasuki zon larangan terbang di atas pejabat presiden di Seoul. Tentera kemudiannya mengerahkan jet pejuang dan helikopter serangan serta melepaskan kira-kira 100 das tembakan, namun gagal menembak jatuh mana-mana dron tersebut.
Keupayaan dron Korea Utara dilaporkan meningkat dengan ketara, susulan hubungan ketenteraan dengan Russia, yang menurut penganalisis memberi Pyongyang akses kepada data medan perang serta taktik yang sebelum ini mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan.- AGENSI










