BEIRUT: Tentera Israel membunuh enam pejuang Hizbullah dalam dua insiden berasingan pada Khamis di sekitar kawasan apa yang disifatkannya sebagai zon keselamatan yang diwujudkan oleh pihaknya di selatan Lubnan.
Dalam insiden pertama, pihak tentera berkata, anggotanya mengesan lima pejuang itu yang menimbulkan ancaman di Zawtar al-Sharqiyah.
Dalam insiden kedua pula, tentera Israel berkata ia mengesan seorang anggota Hizbullah yang bersenjata di sekitar kawasan strategik Banjaran Ali al-Taher.
“Susulan pengesanan itu, Tentera Udara Israel dan pasukan darat melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota berkenaan dan membunuh mereka,” menurut kenyataan tentera rejim Zionis.
Sementara itu, rundingan dimediasi Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Lubnan yang dijadualkan berakhir pada Khamis dilanjutkan sehari lagi, menurut Jabatan Negara AS.
Jabatan itu berkata pusingan kelima rundingan yang bermula minggu ini akan disambung semula pada pagi Jumaat, dengan perbincangan masih diteruskan di bawah usaha memudah cara proses tersebut.
Hizbullah sebelum ini mengheret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac dengan serangan roket ke atas Israel sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan bersama AS-Israel.
Gencatan senjata diisytiharkan selepas gelombang serangan Israel di Lubnan hampir menggagalkan rundingan antara AS dan Iran untuk menamatkan konflik di Asia Barat. – AFP










