TOULOUSE: Syarikat pengeluar pesawat, Airbus memaklumkan akan memeriksa 16 buah pesawat model A380 termasuk lima daripadanya dengan kadar segera selepas kesan keretakan ditemukan pada komponen utama sayap pesawat yang digunakan oleh syarikat penerbangan Emirates dan Qantas.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengarahkan pemeriksaan mengejut yang memerlukan syarikat-syarikat penerbangan memeriksa struktur sayap pada jet yang terlibat selepas pemeriksa menemukan keretakan berkenaan ketika kerja-kerja penyelenggaraan rutin dijalankan.
Keretakan tersebut dikesan pada struktur yang merentangi sepanjang sayap pesawat yang berfungsi menampung sebahagian besar beban aerodinamik semasa penerbangan.
Daripada 16 buah pesawat yang bakal diperiksa, 15 daripadanya dikendalikan oleh Emirates manakala sebuah lagi oleh Qantas. Lima pesawat yang perlu diperiksa dengan kadar segera adalah milik Emirates dan proses berkenaan dijadualkan bermula seawal Rabu.
Antara syarikat penerbangan lain yang menggunakan model A380 termasuklah Emirates, Singapore Airlines, British Airways, Qantas, Lufthansa, Qatar Airways, Korean Air, Etihad Airways, ANA dan Asiana Airlines.
Emirates mengendalikan armada A380 terbesar di dunia dengan mengoperasikan lebih separuh daripada keseluruhan pesawat superjumbo yang aktif ketika ini.
Menurut syarikat pembuat pesawat yang berpangkalan di Eropah itu, kesan retakan yang boleh mengurangkan integriti struktur sayap berkenaan mula dikesan semasa pemeriksaan yang diarahkan oleh EASA melalui satu arahan yang dikeluarkan pada Disember 2025.
Kesemua pesawat A380 yang mempunyai sejarah pengeluaran yang sama telah dikenal pasti dan Airbus akan menjalankan pemeriksaan segera ke atas lima buah pesawat tersebut.
Jurucakap Airbus menyatakan syarikat pengeluar yang berpangkalan di Toulouse itu akan mengadakan perbincangan dengan EASA bagi menentukan sama ada kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan atau sebaliknya.
Bagi 11 buah pesawat lagi, pemeriksaan boleh dilakukan kemudian, namun ia mesti diselesaikan sebelum penerbangan ke-13 pesawat berkenaan, iaitu bersamaan dengan 25 kitaran.
Model A380 sebelum ini pernah berdepan masalah berkaitan sayap dan EASA pada 2012 pernah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh selepas keretakan ditemukan pada pendakap yang menghubungkan lapisan luar sayap dengan struktur dalaman.
Insiden itu menjejaskan keseluruhan armada global A380 pada ketika itu dan membawa kepada program pembaikan yang menelan kos tinggi sebelum Airbus mengatasi isu tersebut melalui perubahan reka bentuk pada pesawat yang dikeluarkan kemudian. -AGENSI









