PRN Johor: PN selesai runding 34 kerusi bertindih

PRN Johor: PN selesai runding 34 kerusi bertindih

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika ditemui selepas mesyuarat pengagihan kerusi PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berjaya menyelesaikan rundingan melibatkan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertindih antara parti-parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rundingan bagi kerusi terbabit telah dimuktamadkan, manakala kerusi yang tidak bertindih diserahkan kepada parti masing-masing untuk ditentukan.

Beliau berkata, tugas beliau adalah merundingkan kerusi-kerusi yang bertindih dalam kalangan parti komponen gabungan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sama ada PN akan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor.

“Alhamdulillah, selesai rundingan dengan parti-parti komponen dalam PN. Tugas saya ialah merundingkan kerusi-kerusi yang bertindih.

“Yang tak bertindih, bebas untuk semua. Yang bertindih semua dah selesai, Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agihan kerusi PN di Pejabat Agung Pas, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pengumuman calon Pas bagi PRN Johor akan dibuat esok di bilik operasi PN di Muar.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada pengumuman calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diadakan secara berasingan atau bersama Pas.

Sementara itu, beliau mengesahkan semua calon PN yang bertanding dalam PRN Johor akan menggunakan logo gabungan tersebut.

“Ya, semua pakai logo PN,” katanya.

Tambah beliau, agihan kerusi menyaksikan Bersatu menerima jumlah kerusi paling banyak, diikuti Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Mengulas proses agihan kerusi, Muhammad Sanusi berkata, setiap cadangan yang dikemukakan parti komponen dinilai berdasarkan beberapa faktor termasuk kekuatan jentera, jumlah pengundi, pengalaman, status penyandang serta rekod pernah bertanding.

“Senarai yang dibawa itu berdasarkan keyakinan masing-masing. Jadi kita tengok, kita timbang pemberatnya.

“Itu semua pemberat-pemberat yang menentukan siapa (calon) yang patut dipertimbangkan (bertanding) di situ,” katanya.

Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan dihadiri Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×