KUALA LUMPUR: Undi Melayu tidak akan berpecah susulan kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini kerana sokongan pengundi teras masih memihak kepada gabungan itu.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kebimbangan mengenai perpecahan undi Melayu bukan perkara baharu kerana situasi sama pernah dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, kebimbangan tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan apabila terdapat parti Melayu gagal mendapat sokongan pengundi.
“Perkara yang sama diungkapkan sebelum PRU15, orang takut undi Melayu berpecah kepada Pejuang dan PN.
“Tetapi orang boleh tengok di mana Pejuang hari ini. Sehebat-hebat tokoh seperti Tun Mahathir Mohamad pun boleh hilang deposit di Langkawi, jadi saya tidak rasa Bersatu akan menerima nasib yang lebih baik berbanding Pejuang.
“Apabila sebuah parti itu mengabaikan kepercayaan pengundi terasnya mereka akan hilang daripada persada politik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, parti Pejuang diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang diambil alih Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum dinamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara, diterima menyertai PN.
Menurut Ahmad Fadhli, Bersatu berisiko hilang dari landskap politik jika terus mengambil pendirian yang enggan menerima realiti baharu dalam gabungan tersebut.
“Kita mahu Bersatu berada dalam PN, menerima baik kawan-kawan di dalam yang telah dipecah secara beramai-ramai, tetapi ia ditolak oleh Bersatu. Kalau Bersatu terus mengambil pendirian yang saya kira agak arrogant, mereka akan hilang dari PN,” katanya.-UTUSAN.










