Pemandu saman stesen minyak, didakwa guna AI manipulasi harga - Utusan Malaysia

Pemandu saman stesen minyak, didakwa guna AI manipulasi harga

BEBERAPA kenderaan menunggu giliran untuk mengisi minyak di Los Angeles. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Beberapa pengendali stesen minyak terkemuka berdepan tindakan saman pada Isnin oleh sekumpulan pemandu di California yang mendakwa syarikat-syarikat terbabit menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menaikkan harga bahan api.

Menurut cadangan tuntutan saman tindakan tersebut, kesemua defendan didakwa melanggar undang-undang antimonopoli utama California, Akta Cartwright.

Pengendali  itu didakwa menggunakan aplikasi berasaskan AI yang mengumpul data dari stesen minyak pesaing untuk menyelaras harga yang tinggi demi mengaut keuntungan lebih besar daripada poket pengguna.

Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Sacramento itu menyatakan bahawa pakatan sulit berkenaan telah melanggar Rang Undang-Undang Perhimpunan 325.

Ia merupakan undang-undang California yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu khusus untuk mengekang manipulasi harga berasaskan algoritma.

Menurut kumpulan pemandu terbabit, harga minyak dikesan meningkat sehingga AS$0.30 sen (RM1.24) segelen  atau 3.78 liter di kawasan yang mempunyai peratusan stesen minyak yang tinggi menggunakan perisian AI keluaran sebuah syarikat. 

Dokumen aduan itu menyebut, setiap kenaikan AS$0.01 (RM0.41) menelan belanja tambahan sebanyak AS$134 juta (RM554.6 juta) setahun bagi pemandu di California.

Ia sekali gus melonjakkan harga petrol ke paras luar biasa yang kadangkala mencecah AS$7 (RM28.97) segelen.

“Ketika golongan keluarga bergelut untuk menampung kos perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, pihak defendan pula berpakat untuk menamatkan persaingan sihat dengan menyertai kartel teknologi AI bagi memastikan ke mana sahaja pemandu pergi, harga petrol kekal tinggi secara tidak munasabah,” menurut kenyataan dalam aduan tersebut.

Berdasarkan dokumen tuntutan itu, kesemua defendan mengendalikan lebih 1,700 stesen minyak di California.. 

Pihak defendan setakat ini sama ada enggan mengulas atau tidak memberikan maklum balas segera ketika diminta kenyataan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN