WASHINGTON: Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Alan Greenspan, meninggal dunia pada usia 100 tahun, menurut kenyataan daripada isterinya.
Koresponden NBC News, Andrea Mitchell dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita itu memaklumkan bahawa suaminya menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit Parkinson.
“Beliau adalah seorang lelaki yang sangat hebat yang membantu membentuk ekonomi Amerika selama beberapa dekad di bawah presiden daripada kedua-dua parti, tetapi sentiasa jujur dalam mengakui kesilapannya,” tambahnya
Selama hampir 20 tahun, Greenspan memikul tanggungjawab besar untuk melindungi ekonomi AS dan memastikan kestabilan mata wang dolar.
Sepanjang menerajui Rizab Persekutuan dari tahun 1987 hingga 2006, jawatan yang sering disifatkan sebagai kedua paling penting selepas jawatan presiden, beliau telah mengemudi pertumbuhan ekonomi AS paling lama dan mampan dalam sejarah satu generasi.
Greenspan sentiasa menolak semua permintaan temu bual sepanjang tempoh perkhidmatannya di bank pusat tersebut.
Malah, pihak media dan pasaran kewangan sentiasa menanti-nantikan setiap kenyataan rasmi beliau yang jarang dikeluarkan, manakala sebuah papan tanda di pejabatnya tertera tulisan ringkas iaitu ‘Tanggungjawab bermula di sini’.
Bagaimanapun, para pengkritik berpendapat bahawa dasar beliau yang terlalu bergantung kepada kredit mudah telah mencetuskan gelembung dot-com pada akhir 1990-an, selain menjadi punca kepada krisis gadai janji subprima pada tahun 2008.
Dalam pada itu, Rizab Persekutuan menyatakan bahawa dasar-dasar dan pemikiran ekonomi Greenspan telah meninggalkan impak yang mendalam terhadap institusi ini, bidang ekonomi yang lebih luas, serta negara.
“Beliau menerapkan disiplin analitikal yang ketat dalam penggubalan dasar monetari, sekali gus membantu membina kredibiliti yang kini kekal menjadi antara aset terpenting Rizab Persekutuan,” kata bank pusat itu melalui satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, legasi Greenspan akan terus hidup di institusi berkenaan menerusi barisan pakar ekonomi yang dibimbing dan diinspirasikan sepanjang tempoh beliau bergelar pengerusi.
Greenspan dilahirkan di Bandar Raya New York City pada 6 Mac 1926 dan dibesarkan secara sendirian oleh ibunya yang bekerja di sebuah kedai perabot.
Sebelum bergelar pakar ekonomi terkemuka, Greenspan pada usia mudanya merupakan seorang pemuzik berbakat yang pernah mempelajari instrumen klarinet di Sekolah Muzik Julliard yang terkenal di New York. – AGENSI










