WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump melonggarkan sementara beberapa sekatan terhadap minyak Iran, sekali gus menghentikan permusuhan yang menentukan hubungan Amerika Syarikat (AS)-Iran sejak krisis tebusan pada 1979.
Buat pertama kali dalam hampir empat dekad, syarikat penapisan bahan api AS berpeluang membeli minyak mentah dari Iran selepas Jabatan Perbendaharaan mengeluarkan pengecualian sekatan terhadap minyak Iran di bawah syarat perjanjian damai sementara.
Walaupun masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada pedagang dan syarikat penapisan akan menempah kapal tangki bagi mengangkut minyak mentah Iran, pengecualian itu menandakan perubahan ketara daripada tekanan ekonomi yang dikenakan Washington terhadap Teheran sejak beberapa dekad lalu.
Pelonggaran sekatan yang sah selama 60 hari itu berpotensi membantu mengurangkan gangguan bekalan yang tercetus susulan hampir tertutupnya Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan sehingga 20 peratus daripada bekalan minyak dunia.
Hubungan AS-Iran tegang sejak krisis tebusan 1979 apabila kumpulan Iran menyerbu Kedutaan AS di Teheran dan menahan 52 diplomat serta rakyat Amerika sebagai tebusan.
Sejak itu, hubungan kedua-dua negara terus merosot berikutan dakwaan penglibatan Iran dalam aktiviti keganasan serta program nuklear, yang akhirnya membawa kepada embargo penuh terhadap minyak Iran pada 1995.
Syarikat penapisan minyak Amerika menghentikan serta-merta pembelian minyak dari Teheran selepas Presiden AS ketika itu, Jimmy Carter, melarang import minyak dari negara berkenaan.
Jumlah import yang pernah memuncak kepada 850,000 tong sehari pada 1977 menjunam kepada sifar hanya beberapa bulan selepas kebangkitan Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin Iran ketika krisis tebusan berlaku.
Bagaimanapun, minyak Iran masih memasuki pasaran AS dalam jumlah kecil pada tahun-tahun berikutnya.
Tong terakhir minyak Iran yang memasuki AS sebelum embargo minyak 1995 dihantar kepada syarikat penapisan bahan api di negeri Texas, Louisiana dan Mississippi.
Syarikat Chevron Corp dan Marathon Petroleum Corp antara yang terakhir mengimport bekalan minyak Iran pada 1991, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA).
Kilang penapisan AS kebanyakannya mengimport minyak masam sederhana dari Iran, iaitu gred minyak yang sukar diperoleh ketika itu.
Ketika syarikat penapisan AS kali terakhir mengimport minyak Iran dalam jumlah besar, ledakan pengeluaran minyak syal masih belum berlaku dan Kesatuan Soviet masih wujud, walaupun hanya beberapa bulan sebelum keruntuhannya.
Pada masa itu, AS juga merupakan pengimport bersih minyak dan sangat bergantung kepada bekalan daripada negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Syarikat penapisan AS terus bergantung kepada minyak dari Asia Barat walaupun berlaku gangguan bekalan susulan hampir tertutupnya Selat Hormuz.
Sejak perang tercetus, syarikat penapisan bahan api AS mengimport kira-kira 350,000 tong minyak sehari dari Arab Saudi, selain jumlah yang lebih kecil daripada minyak mentah Iraq.- BLOOMBERG










