BEIJING: Beijing mengenakan kawalan eksport ke atas 10 syarikat Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam sektor pertahanan dan perlombongan nadir bumi sebagai tindak balas terhadap tindakan Washington menyenaraihitamkan beberapa firma China.
Langkah itu dibuat sebulan selepas Presiden AS, Donald Trump melawat Beijing bagi meredakan hubungan tegang antara kedua-dua negara menerusi rundingan dengan Presiden China, Xi Jinping.
Walaupun kedua-dua negara bersetuju untuk berusaha mengurangkan tarif, hubungan mereka terus diuji apabila masing-masing mengambil tindakan yang mengekang kemajuan pihak lain dalam bidang teknologi dan pertahanan.
Washington bulan ini mengeluarkan senarai hitam baharu membabitkan 80 syarikat dan anak syarikat yang didakwa membantu ketenteraan China.
Langkah itu menyaksikan gergasi teknologi Alibaba dan Baidu, selain pengeluar kenderaan elektrik BYD, dimasukkan ke dalam senarai berkenaan, sekali gus mendorong Beijing mengancam untuk mengambil tindakan balas.
“Kawalan eksport baharu China itu dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap tindakan melampau kerajaan yang menambah nama syarikat dalam apa yang dipanggil sebagai senarai perusahaan ketenteraan China.
“Langkah ini juga bertujuan untuk melindungi keselamatan negara,” menurut kenyataan Kementerian Perdagangan China.
Antara 10 entiti yang dikenakan sekatan ialah Aveox, yang memegang kontrak pertahanan aeroangkasa dengan tentera AS, dan Oshkosh Defense, pengeluar kenderaan tentera. Turut tersenarai ialah pengeluar nadir bumi AS, MP Materials dan USA Rare Earth.
Kementerian Perdagangan China berkata, pengeksport dilarang membekalkan barangan dwiguna kepada entiti yang disenaraikan, sambil menegaskan sebarang aktiviti eksport berkaitan yang sedang berjalan mesti dihentikan serta-merta.
Larangan itu turut terpakai kepada organisasi atau individu di mana-mana negara atau wilayah yang memindahkan atau membekalkan barangan dwiguna yang berasal dari China kepada entiti berkenaan, menurut kementerian itu.
Pada masa sama, Kementerian Kewangan China mengumumkan larangan terhadap agensi yang terlibat dalam perolehan awam daripada membeli produk keluaran 46 syarikat AS, termasuk Lockheed Martin, Raytheon dan bahagian pertahanan Boeing.
Turut disenaraikan ialah beberapa bahagian General Dynamics dan Anduril Industries, yang merupakan kontraktor utama ketenteraan AS, selain beberapa syarikat aeroangkasa lain. – AFP










