PM tidak akan terlibat lantik Pendakwa Raya - Utusan Malaysia

PM tidak akan terlibat lantik Pendakwa Raya

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak terlibat dalam pelantikan Pendakwa Raya selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diluluskan di Parlimen.

Pencalonan akan diusulkan Suruhanjaya Perkhidmatan Keha­kiman dan Perundangan (SPKP) dan diteliti Parlimen, sebelum pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mekanisme itu antara pembaharuan disyorkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi membolehkan pelantikan disahkan atau dinilai oleh Parlimen.

Secara tidak langsung memperkukuh peranan institusi itu dalam sistem semak dan imbang negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Parlimen juga akan dapat menilai nama-nama yang dikemukakan sama ada di Dewan Rak­yat atau menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Sebelum ini, apabila kita bercakap tentang pengasingan kuasa, pelantikan dibuat oleh pihak eksekutif dan dari sudut Parlimen, kita hanya boleh membangkitkan serta mempersoalkan proses pelantikan tersebut tanpa boleh terlibat dalam menentukan nama calon.

“Pindaan Perlembagaan ini membolehkan Parlimen mengambil bahagian dalam proses tersebut. Parlimen juga akan dapat menilai nama-nama yang dikemukakan sama ada di Dewan Rakyat atau menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas dan ia merupakan satu langkah yang baik,” katanya dalam sidang akhbar Pembentangan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Parlimen di sini, semalam.

Azalina berkata, jawatan­kuasa turut mengesyorkan proses pelantikan yang lebih telus dengan penglibatan Parlimen, di mana nama calon yang dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan pandangan diberikan kepada SPKP.

Katanya, Pendakwa Raya juga dicadang memegang ja­watan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula.

“Jawatankuasa mengesyorkan Pendakwa Raya diwajibkan mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi.

“Pada masa sama, jawatankuasa mencadangkan penetapan Kod Etika khusus bagi Pendakwa Raya, yang mana pelanggaran kod berkenaan boleh menjadi salah satu alasan untuk penyingkiran daripada jawatan,” katanya.

Azalina berkata, penyata yang dibentangkan merupakan hasil penelitian komprehensif dan inklusif dijalankan jawatankuasa berkenaan.

Ujarnya, sepanjang tempoh penelitian, jawatankuasa mengadakan tujuh mesyuarat serta menerima pembentangan dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan setiap aspek reformasi itu diteliti secara menyeluruh.

“Jawatankuasa telah terima pembentangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung aspek perlembagaan, perundangan, pentadbiran dan pelaksanaan reformasi.

“Selain itu, jawatankuasa turut mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk ba­dan profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan organisasi masyarakat sivil,” katanya.

Katanya, jawatan­kuasa turut mencadangkan supaya Parlimen diberi kuasa menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penying­kiran dan tanggungjawab pelaporan Pendakwa Raya bagi memastikan reformasi itu dapat terus diperkukuh.

“Secara keseluruhannya, syor yang dikemukakan bertujuan mewujudkan suatu institusi Pendakwa Raya yang bebas, profesional, bertanggungjawab dan diyakini oleh rakyat selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta amalan terbaik antarabangsa.

“Penyata yang dibentangkan hari ini akan menjadi asas kepada pertimbangan dan perbahasan Dewan Rakyat dalam langkah seterusnya,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan mekanisme itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang perlu melalui beberapa peringkat termasuk memperoleh sokongan majoriti mudah sebelum mendapatkan majoriti dua pertiga pada bacaan ketiga.

Menurutnya, kerajaan ma­sih mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang bagi mendapatkan sokongan diperlukan memandangkan pindaan tidak boleh diluluskan tanpa majoriti dua pertiga.

Katanya, cadangan tersebut melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang dalam usaha mencari titik persetujuan berhubung reformasi institusi.

“Kita sedang menyediakan satu laluan baharu untuk negara iaitu memastikan Parlimen turut terlibat dalam pelantikan-pelantikan penting. Sebab itu ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak telah berbahas selama berbulan-bulan mengenai keperluan penglibatan Parlimen dalam proses tersebut.

“Jika inilah yang kami tawarkan, saya berharap ahli Parlimen kedua-dua belah pihak akan menerimanya sebagai satu perubahan dan reformasi yang sebenar untuk negara. Jika kita terlepas peluang ini, mungkin tiada lagi peluang seperti ini pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×