15,000 kilogram durian percuma hargai pelanggan - Utusan Malaysia

15,000 kilogram durian percuma hargai pelanggan

ORANG ramai menyerbu kedai Ikan Flyover Kebor Besar, Kuala Terengganu, Terengganu untuk menikmati durian percuma yang disediakan pemiliknya. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga ikan dan buah-buahan tempatan berkongsi rezeki de­ngan menyediakan 15,000 kilogram durian kampung secara percuma kepada orang ramai sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang setia menyokong perniagaannya.

Sauffian Sauji, 39, berkata, durian yang dibawa khas dari Melaka, Perak dan Johor itu disediakan di cawangan Ikan Flyover Kebor Besar, Manir di sini, semalam.

Katanya, program itu diadakan buat julung kali sejak menceburi perniagaan, selain bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Ini kali pertama saya meng­adakan program makan durian percuma. Selain meraikan ulang tahun kelahiran, saya mahu berkongsi rezeki dan menghargai pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan saya.

“Kebetulan sekarang musim durian sudah tiba dan saya juga baru berjinak-jinak dalam perniagaan buah-buahan tempatan. Jadi, elok untuk saya mengambil peluang ini untuk mendekati pe­langgan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sauffian berkata, orang ramai bebas menikmati durian secara percuma di premis berkenaan sepanjang program berlangsung.

Katanya, bagaimanapun, pe­langgan yang ingin membawa pulang durian boleh membeli pada harga promosi RM3.80 sekilogram.

Sauffian berharap program itu dapat mengeratkan hubungan dengan pelanggan, selain memeriahkan lagi musim durian yang sudah bermula dan mendapat sambutan hangat.

Sementara itu, pelanggan, Mohd. Zamri Abdullah, 45, berkata, dia hadir bersama keluarga seawal pukul 8 pagi bagi menikmati durian percuma yang disediakan.

“Waktu saya sampai, sudah ramai orang beratur menunggu. Program ini memang menarik kerana bukan sahaja dapat menikmati durian secara percuma, malah dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×