Pentagon mohon RM331 bilion tampung kos perang Iran - WSJ

Pentagon mohon RM331 bilion tampung kos perang Iran – WSJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) akan meminta Kongres meluluskan kira-kira AS$80 bilion (RM331 bilion) untuk menampung kos akibat perang Iran dan perbelanjaan lain, lapor Wall Street Journal (WSJ).

Presiden Donald Trump, berdepan kritikan rakyat AS yang menuduh beliau membelanjakan berbilion wang pembayar cukaui untuk konflik di Asia Barat, ketika harga minyak dan inflasi terus meningkat di negara itu.

Timbalan Setiausaha Pertahanan, Stephen Feinberg, menyampaikan permintaan itu kepada wakil Kongres minggu ini, lapor WSJ yang memetik sumber mengetahui perbincangan tersebut.

Pemimpin Pentagon berkata, mereka berisiko kehabisan dana untuk beroperasi dalam beberapa bulan akan datang sekiranya Kongres tidak meluluskan rang undang-undang perbelanjaan perang baharu.

WSJ berkata, tentera AS mungkin perlu mengurangkan latihan serta penempatan anggota di sempadan dengan Mexico sebagai sebahagian daripada tindakan keras imigresen di bawah Trump.

Pentagon pada Mei memaklumkan, kos perang dengan Iran meningkat kepada hampir AS$29 bilion (RM119 bilion), namun Demokrat dan pengkritik lain berpendapat kos sebenar, termasuk kerosakan yang dicetuskan Iran, mungkin jauh lebih tinggi.

Kebimbangan perang itu menjejaskan bekalan senjata AS turut meningkat pada Mei selepas Pemangku Setiausaha Tentera Laut, Hung Cao, menyebut konflik berkenaan sebagai sebab untuk menangguhkan penjualan kepada Taiwan.

Bagaimanapun, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, menolak dakwaan tersebut apabila ditanya dalam satu temu bual sama ada wujud krisis dalam simpanan peluru dan senjata.

Sebahagian daripada AS$80 bilion itu, jika diluluskan, akan digunakan untuk peluru, gaji anggota tentera dan operasi kapal perang, menurut sumber yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Perang yang tercetus susulan serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari itu melanda rantau Asia Barat yang kaya minyak serta menjejaskan Selat Hormuz, iaitu laluan penting bagi bekalan minyak dunia.

Perjanjian untuk menamatkan perang itu dilaporkan semakin tertekan pada Jumaat selepas pertempuran kembali meletus antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan, manakala rundingan di Switzerland turut ditangguhkan.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×