HAVANA: Parti Komunis Cuba meluluskan satu pakej langkah ekonomi pasaran bebas yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini sebagai sebahagian daripada pelan kecemasan untuk memulihkan ekonomi negara.
Pakej itu dikemukakan kepada Perhimpunan Kebangsaan Cuba pada Khamis dan dijangka diluluskan tanpa halangan besar.
Pelan berkenaan akan memperluaskan peluang kepada perusahaan swasta dan mewujudkan langkah bagi menarik lebih banyak pelaburan asing, termasuk daripada rakyat Cuba yang menetap di luar negara.
Namun, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel mengaku sebahagian kesukaran ekonomi yang dihadapi negara itu berpunca daripada faktor dalaman dan merujuk kepada halangan yang bukan datang dari luar mahupun sekatan ekonomi.
Dalam ucapannya, beliau menjangkakan pelan kecemasan ekonomi itu mungkin mendapat tentangan daripada golongan konservatif dalam Parti Komunis, yang memerintah Cuba secara rasmi sejak 1965.
Menurut beliau, sebahagian reformasi tersebut mungkin tidak mendapat persetujuan mutlak, tetapi tidak boleh lagi ditangguhkan
Pelan itu juga berpotensi membuka jalan kepada pembangunan hartanah swasta di pulau Caribbean tersebut dan mengubah syarikat milik kerajaan menjadi perusahaan komersial swasta yang mempunyai saham serta pegangan ekuiti.
Selain itu, bank swasta juga akan dibenarkan memasuki sektor kewangan Cuba yang sebelum ini didominasi oleh institusi milik negara.
Pakej reformasi itu menandakan perubahan besar bagi Cuba yang dipimpin Parti Komunis. Bekas pemimpin Cuba, Raul Castro, yang didakwa oleh Amerika Syarikat (AS) pada Mei lalu, turut menyokong pelan tersebut.
Selama beberapa dekad, AS mengenakan sekatan perdagangan ke atas Cuba yang melemahkan ekonomi negara itu.
Sejak Januari lalu, tekanan Washington terhadap Cuba semakin meningkat apabila pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menyekat penghantaran bekalan bahan api ke pulau itu. – AGENSI











