SEOUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu mengalihkan perhatiannya kepada isu Korea Utara selepas mencapai perjanjian dengan Iran, kata Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung pada Jumaat selepas bertemu rakan sejawatannya itu di Perancis.
Jae-myung berkata, beliau menyampaikan perkara itu kepada Trump, ketika kedua-dua pemimpin bertemu pada sidang kemuncak G7 di Perancis minggu ini dan membincangkan kebuntuan yang berpanjangan antara Korea Selatan dengan jiran utaranya yang memiliki senjata nuklear.
Beliau turut memberitahu Trump, sudah tiba masanya untuk memberi perhatian kepada isu Korea Utara selepas sekatan yang dikenakan terhadap Pyongyang berhubung program nuklearnya tidak berkesan.
“Saya memberitahunya, sekatan dan tekanan terhadap Korea Utara tidak berkesan. Keberkesanan sekatan semakin terjejas akibat kerjasama ketenteraan antara Korea Utara dan Russia yang semakin erat berpunca daripada perang di Ukraine.
“Walaupun bantuan yang diberikan Russia adalah kecil, ia amat membantu Korea Utara,” jelasnya.
Jae-myung menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh meninggalkan matlamat penyahnuklearan Korea Utara.
“Perkara utama yang dibangkitkan Trump ialah amat malang apabila langkah-langkah yang mungkin dapat diambil tidak dilaksanakan sebelum Korea Utara menjadi sebuah negara bersenjata nuklear.
“Saya juga berkata kita tidak lagi boleh menangani isu nuklear Korea Utara dengan cara yang sama seperti kita menangani negara-negara lain dan Trump bersetuju.
Beberapa jam selepas mengumumkan perjanjian dengan Iran, Trump dilaporkan memuat naik di media sosial sekeping gambar tanpa kapsyen yang menunjukkan beliau bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, ketika kedua-duanya bertemu di Singapura pada 2018.
Perkongsian itu mencetuskan spekulasi bahawa pentadbiran Trump mungkin akan mengalihkan fokus seterusnya kepada Korea Utara yang memiliki senjata nuklear. – AFP










