Kedudukan PM UK goyah selepas pencabar menang kerusi parlimen - Utusan Malaysia

Kedudukan PM UK goyah selepas pencabar menang kerusi parlimen

KEIR Starmer (kiri) dan Andy Burnham - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Andy Burnham dari Parti Buruh, yang juga Datuk Bandar Greater Manchester, memenangi pilihan raya khas Parlimen bagi kerusi Makerfield di barat laut England, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk mencabar Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer.

Burnham daripada parti yang sama dengan Starmer menewaskan calon Reform UK, Rob Kenyon, dalam pertandingan yang menyaksikan persaingan dengan parti anti-imigresen itu.

Kemenangan yang diumumkan pada Jumaat itu dilihat menguatkan spekulasi Burnham merupakan antara calon utama untuk mengambil alih kepimpinan parti Buruh dan seterusnya jawatan Perdana Menteri.

Dalam reaksinya, Burnham berkata, beliau akan ‘mengubah politik’ sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi, sambil menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan perubahan pada skala lebih besar.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk membawa agenda pembaharuan ‘setinggi mungkin’ dalam sistem politik UK.

Sementara itu, kedudukan Starmer terus menerima tekanan selepas popularitinya dilaporkan merosot sejak kemenangan besar Parti Buruh dalam pilihan raya umum Julai 2024.

Beliau dilaporkan bergelut untuk menunaikan janji pertumbuhan ekonomi, memperbaiki perkhidmatan awam yang semakin terjejas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup. 

Keadaan itu diburukkan lagi oleh beberapa kesilapan politik, termasuk keputusannya melantik Peter Mandelson, tokoh yang pernah terpalit skandal dan dikaitkan dengan pesalah seks, Jeffrey Epstein, sebagai Duta UK ke Amerika Syarikat (AS).

Prestasi buruk dalam pilihan raya tempatan pada Mei lalu mencetuskan desakan daripada puluhan ahli Parlimen parti Buruh yang menuntut peletakan jawatan Starmer. 

Namun, beliau setakat ini enggan berundur, walaupun tekanan daripada dalam parti semakin meningkat.

Pilihan raya itu diadakan selepas penyandangnya yang merupakan ahli parlimen parti Buruh Makerfield, Josh Simons, meletakkan jawatan.  Be­liau bertindak sedemikian bagi menbolehkan pilihan raya khas diadakan bagi  membuka laluan kepada Burnham untuk kembali ke parlimen.

Sistem Parlimen UK membenarkan parti pemerintah menukar pemimpin pada pertengahan penggal, dengan pemenang mengambil alih jawatan perdana menteri tanpa perlu pilihan raya umum. –  AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×