Rusuhan berdarah cetus penutupan wilayah di Kashmir

Rusuhan berdarah cetus penutupan wilayah di Kashmir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUZAFFARABAD: Kehidupan harian di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan lumpuh susulan penutupan menyeluruh di seluruh wilayah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia berlaku akibat rusuhan paling berdarah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dalam tempoh hampir dua minggu protes.

Pertembungan antara pihak berkuasa tempatan dan penyokong Jawatankuasa Tindakan Awami Bersama (JAAC) yang baru diharamkan itu menjadi cabaran sensitif kepada Islamabad, yang sering mengkritik cara New Delhi menangani bantahan di Kashmir yang ditadbir India.

Namun kini Pakistan berdepan kemarahan rakyat di wilayah di bawah pentadbirannya sendiri.

Pergolakan itu bermula menjelang mogok pada 9 Jun yang dianjurkan JAAC bagi membantah peruntukan 12 kerusi kepada pelarian dalam pilihan raya Dewan Undangan wilayah yang mempunyai 45 kerusi dan dijadualkan berlangsung pada 27 Julai.

Golongan pelarian tersebut kini menetap di Pakistan selepas dipindahkan dari Kashmir yang ditadbir India.

Protes memuncak beberapa hari sebelum penutupan wilayah dilaksanakan, dengan pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh antara 6 hingga 14 Jun manakala puluhan lagi cedera.

Ketua Polis Wilayah, Liaqat Ali Malik berkata, empat anggota polis terbunuh dan 97 lagi cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan, manakala 515 individu sudah ditahan.

Ketika ini, ribuan penyokong JAAC berkhemah di pinggir Rawalakot, kira-kira 100 kilometer di selatan Muzaffarabad, ibu kota wilayah berkenaan.

Lapor Reuters, kerajaan bertindak menutup jalan-jalan utama, menyekat akses internet serta mengehadkan liputan media di sebahagian besar kawasan Kashmir.

Walaupun farmasi dan beberapa kedai runcit mula beroperasi dalam tempoh terhad, selain peniaga buah-buahan dan sayur-sayuran yang kembali berniaga secara berhati-hati, kebanyakan premis perniagaan lain masih ditutup.

Notis yang dikeluarkan bank menyalahkan penggantungan perkhidmatan internet dan satelit oleh kerajaan sebagai punca mesin juruwang automatik (ATM) serta operasi perbankan tidak dapat berfungsi, manakala stesen minyak turut ditutup atas arahan pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN