BANGKOK: Mahkamah di Thailand menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang lelaki kerana memfitnah institusi diraja selepas membuat komen dalam kumpulan Facebook yang membincangkan mengenai monarki.
Undang-undang lese-majeste yang ketat di Thailand melindungi keluarga diraja daripada sebarang kritikan, dengan hukuman maksimum sehingga 15 tahun penjara bagi setiap kesalahan.
Pengkritik undang-undang itu menyatakan ia sering digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat.
Dalam kes terbaharu itu, Mahkamah Jenayah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas seorang lelaki berusia 43 tahun atas komen yang dibuatnya dalam kumpulan Facebook tertutup ‘Royalist Marketplace’, yang mempunyai lebih daripada 2.2 juta ahli.
Kumpulan itu, diasaskan oleh pengkritik diraja dan sarjana yang kini dalam buangan, Pavin Chachavalpongpun, diwujudkan sebagai forum untuk membincangkan institusi monarki, satu perkembangan yang dianggap luar biasa dalam masyarakat Thailand.
“Mahkamah pada awalnya menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara, tetapi kerana tertuduh mengaku bersalah, hukuman itu dikurangkan separuh,” kata pegawai maklumat Thai Lawyers for Human Rights, Noppol Achamas.
Lelaki berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan bagi melindungi privasi, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 100,000 baht (RM12,598) sementara menunggu proses rayuan, menurut Noppol.
Kumpulan Facebook itu menjadi aktif selepas pergerakan protes yang dipimpin golongan belia pada 2020 dan 2021, apabila penunjuk perasaan menuntut pembaharuan terhadap institusi monarki serta pindaan ke atas undang-undang fitnah diraja.
Namun, pergerakan tersebut kemudian kehilangan momentum apabila ramai aktivis berdepan tuduhan di bawah undang-undang lese-majeste serta pertuduhan jenayah lain.
Menurut data Thai Lawyers for Human Rights (TLHR), seramai 291 individu didakwa di bawah undang-undang penghinaan terhadap institusi diraja sejak 2020.
Sekurang-kurangnya 17 orang pula didakwa kerana komen yang dibuat dalam kumpulan Facebook ‘Royalist Marketplace’.- AFP











