RAMALLAH: Peneroka Israel membakar masjid di dua kampung di Tebing Barat pada Rabu, dalam insiden terbaru yang mencerminkan peningkatan serangan terhadap komuniti Palestin sejak perang Gaza meletus pada 2023, menurut pihak berkuasa tempatan.
Ketua Majlis Kampung Jiljiliya di utara Ramallah, Osama Abdullah, berkata peneroka menyerang masjid utama kampung itu dengan membakar ruang wuduk, selain merosakkan beberapa bahagian bangunan dan menconteng slogan berbaur ancaman pada dinding luar.
Wartawan AFP yang melawat lokasi kejadian mendapati siling, dinding dan lantai masjid dipenuhi kesan hangus akibat kebakaran, manakala beberapa tulisan dalam bahasa Ibrani diconteng pada dinding bangunan berkenaan.
Antara grafiti yang ditinggalkan ialah perkataan ‘balas dendam’ serta mesej berbunyi ‘salam daripada Belia Hilltop’, kumpulan yang sering dikaitkan dengan golongan peneroka pelampau.
Insiden itu berlaku ketika keganasan yang melibatkan peneroka Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki terus meningkat dalam tempoh hampir tiga tahun kebelakangan ini.
Kumpulan Belia Hilltop, yang sering dikaitkan dengan serangan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat, dipercayai terbabit dalam insiden pembakaran dua masjid di kawasan itu, menurut tulisan grafiti yang ditinggalkan di lokasi kejadian.
Tentera Israel mengesahkan berlaku perbuatan khianat membabitkan pembakaran dan grafiti pada kedua-dua masjid berkenaan, namun tidak mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan, tentera berkata anggotanya menjalankan operasi mencari suspek di kawasan terbabit dan menemui dua masjid yang dibakar serta grafiti pada dinding bangunan.
“Suspek melarikan diri sebelum pasukan keselamatan tiba di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Ketua Majlis Kampung Jiljiliya, Osama Abdullah, berkata sekumpulan peneroka tiba antara jam 2 hingga 3 pagi untuk membakar masjid utama kampung itu, namun gagal memasuki bangunan kerana pintunya berkunci.
Menurutnya, mereka kemudian membakar ruang wuduk yang terletak di tingkat bawah masjid.
Beliau berkata, pasukan pertahanan awam Palestin bersama penduduk kampung dan kawasan berhampiran berjaya memadamkan kebakaran sebelum ia merebak lebih jauh.
Di kampung jiran, Mazari an-Nubani, Ketua Majlis Kampung, Saad Dagher, berkata sekumpulan peneroka turut menyerang sebuah daripada tiga masjid di kampung itu pada awal pagi.
Katanya, penyerang melemparkan bom petrol ke arah masjid kira-kira jam 3 pagi sebelum melarikan diri, manakala penduduk bertindak memadamkan kebakaran yang tercetus.- AFP










