PETALING JAYA: Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) merayu kerajaan mempertimbang membenarkan pelarian berdaftar bekerja secara sah di dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).
Langkah itu mampu menyelesaikan masalah terutama dalam usaha menampung isu kekurangan tenaga kerja yang kritikal ketika ini.
Presiden MERHROM, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, pembukaan sektor 3D kepada etnik Rohingya akan membolehkan golongan tersebut membuktikan nilai mereka dengan menyumbang kembali kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Katanya, sektor-sektor seperti pembinaan, perladangan, pertanian dan pembersihan sering berhadapan masalah kekurangan pekerja yang serius berikutan kurangnya minat dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
“Jika komuniti pelarian ini diberikan peluang dan permit khas mereka sudah bersedia pada bila-bila masa untuk memerah keringat dan mengisi kekosongan tersebut.
“Penyelesaian ini lebih praktikal berbanding kerajaan terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membawa masuk serta bergantung kepada pekerja asing baharu dari negara luar.
“Penglibatan pelarian secara sah di dalam sektor ekonomi 3D ini juga merupakan seruan kelangsungan hidup yang sangat penting bagi komuniti Rohingya di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kebenaran untuk bekerja membolehkan etnik Rohingya menjana pendapatan sendiri sekali gus mengelakkan mereka daripada terus hidup melarat.
“Komuniti tidak perlu bergantung kepada sumbangan, dana atau bantuan ihsan daripada agensi antarabangsa mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan semata-mata.
“Inisiatif ini dapat membantu mengikis persepsi buruk masyarakat tempatan yang sering melabelkan warga Rohingya sebagai beban ekonomi kepada negara,” katanya.
Zafar berkata, pihak persatuan kini berdepan cabaran kewangan yang besar untuk menjaga kebajikan lebih 128,200 orang pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
“Kekangan dana yang berterusan menyukarkan usaha penyaluran bantuan kepada keluarga pelarian yang berdepan kecemasan, kelaparan atau masalah kesihatan.
“Sekiranya mereka dibenarkan bekerja mengikut lunas perundangan, komuniti pelarian ini mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan tegar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang kelulusan pekerjaan itu boleh dilaksanakan dengan mekanisme pemantauan yang ketat oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang pada tahap tertinggi.
“Pekerjaan yang stabil adalah langkah pencegahan yang paling berkesan bagi menjauhkan golongan ini daripada terjebak dalam sebarang aktiviti jenayah akibat desakan hidup yang mendesak,” katanya.-UTUSAN.










