Tiada logo PN di PRN Johor, Negeri Sembilan? - Utusan Malaysia

Tiada logo PN di PRN Johor, Negeri Sembilan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Logo dan bendera Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak kelihatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memohon injunksi mahkamah.

Bersatu yang kini berdepan krisis keahlian dalam PN boleh memohon injunksi untuk menghalang mana-mana pihak termasuk Pas daripada menggunakan nama dan logo gabungan itu dalam pilihan raya.

Langkah itu dijangka menjadi ikhtiar terakhir Bersatu mempertahankan haknya dalam PN, seandainya Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berpihak kepada Pas untuk menyingkirkan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bekas Pengarah Eksekutif, Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Idzuafi Hadi Kamilan berkata, kemelut antara Bersatu dan Pas akan semakin meruncing, sekiranya Bersatu berbuat demikian.

Pengamal undang-undang itu berkata, wujud kemungkinan mahkamah menerima permohonan injunksi difailkan Bersatu atas pertimbangan parti itu merupakan komponen yang sah, selain pengasas PN.

“Salah satu parti (Bersatu) boleh bawa kes ke mahkamah dan membuat permohonan injunksi untuk mana-mana pihak tidak menggunakan nama dan logo (PN) dalam pilihan raya akan datang, selagi kes belum selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Injunksi adalah perintah rasmi mahkamah yang mengarahkan seseorang atau pihak ter­tentu untuk melakukan sesuatu tindakan atau menghentikan serta melarang perbuatan tertentu.

Ia berfungsi sebagai langkah pencegahan sebelum mah­kamah membuat keputusan pe­nuh.

Sabtu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menye­rahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada parti itu mahu kekal dalam PN ataupun tidak, selepas Pas menerima kemasukan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Sebagai respons, Ketua Pe­nerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas sepatutnya menggunakan logo parti sendiri untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya selepas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

Beliau berkata, tindakan Pas yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedudukan dalam PN, seperti mahu mensabotaj Bersatu dan parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan jenama PN, menjelang PRN Johor dan Ne­geri Sembilan.

Dalam pada itu, Ketua Pe­nerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Harris Idaham Rashid mengakui, Bersatu mempunyai peluang cerah jika memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang mana-mana pihak menyingkirkannya daripada PN.

Beliau berkata, Bersatu merupakan pengasas utama menerusi Muhyiddin manakala parti-parti lain hanyalah pe­ngasas bersama.

Katanya, sebagai pengasas yang mendaftarkan gabungan, parti itu mempunyai hak untuk kekal dalam gabungan dan tidak boleh dinafikan.

“Bersatu mempunyai hak yang sah untuk terus berada dalam gabungan PN.

“Sebagai pengasas yang men­daftarkan PN, Bersatu mempunyai hak untuk berada dalam gabungan ini dan hak tersebut tidak boleh dinafikan,” katanya.

Harris Idaham berkata, sekiranya isu itu dibawa ke mahkamah, hakim akan mene­liti keseluruhan fakta berkaitan penubuhan PN termasuk pro­ses pendaftarannya sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, dalam kes melibatkan pertikaian sesebuah pertubuhan atau gabungan politik, pihak yang mendaftarkan organisasi lazimnya diberikan pertimbangan sewajarnya oleh mahkamah.

“Hakim yang bijaksana akan meneliti fakta-fakta berkenaan penubuhan PN dan pendaftar­nya dan secara kebiasaan pendaftar sesebuah gabungan akan diberi keutamaan untuk berada dalam gabungan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, faktor sejarah dan peranan Bersatu menerajui PN juga akan menjadi antara perkara diberi perhatian oleh mahkamah.

Tambahnya, mahkamah ju­ga bakal mengambil kira tempoh Bersatu memimpin dan menerajui PN, sejak gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara pada 2020 sehingga perkembangan politik terkini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×