PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) sekali gus menamatkan perang di Asia Barat.
Ini termasuk pembukaan semula Selat Hormuz yang akan mencetuskan kelegaan dunia, selepas beberapa bulan ekonomi global terjejas akibat kekacauan di rantau itu.
AS dan negara pengantara, Pakistan berkata, perjanjian akan ditandatangani Jumaat ini di Switzerland dengan Arab Saudi serta kuasa serantau lain menyambut baik perjanjian itu.
Rakyat Iran pula meluahkan harapan agar ia dapat mengembalikan keamanan.
Walaupun hanya sedikit butiran didedahkan kepada umum, Presiden AS, Donald Trump berkata, Selat Hormuz selaku laluan penting bekalan minyak dunia yang telah disekat sejak perang, akan dibuka semula.
“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, agensi berita Iran, Mehr melaporkan bahawa AS akan membebaskan aset Iran bernilai AS$12 bilion (RM49 bilion) yang dibekukan sebelum rundingan bermula.
Agensi itu memetik MoU 14 perkara AS-Iran yang menyatakan sebanyak AS$24 bilion (RM97 bilion) aset Iran yang dibekukan tidak lagi disekat sepanjang tempoh rundingan 60 hari yang bermula selepas perjanjian ditandatangani.
Pentadbiran Trump tidak mengulas mengenai butiran itu kerana berpotensi mencetuskan kontroversi ketika AS meneruskan usaha untuk menamatkan cita-cita nuklear Teheran serta menangani simpanan uranium yang dikatakan tertanam akibat serangan AS tahun lalu.
Dalam temu bual dengan akhbar The New York Times Ahad lalu, Trump berkata, Washington masih berunding sama ada Iran akan menggantung pengayaan uranium selama 20 tahun.
Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berkata, MoU itu dimuktamadkan pada malam Ahad selepas rundingan yang sukar dan intensif selama beberapa bulan dan telah mendapat kelulusan pihaknya.
“Berdasarkan perjanjian yang dicapai, perang dan operasi ketenteraan di semua medan, termasuk Lubnan akan ditamatkan secara serta-merta dan berkekalan mulai malam ini (Isnin). Selain itu, sekatan laut terhadap Iran juga akan ditamatkan serta-merta dan sepenuhnya,” katanya.
Dalam temu bual dengan stesen televisyen milik kerajaan, IRIB TV, Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Perundangan dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi berkata, MoU itu bukan semata-mata usaha diplomatik dan rundingan tetapi hasil kejayaan ketenteraan Iran.
Gharibabadi berkata, pendirian Iran dan isu-isu lain yang dianggap penting oleh negara itu telah dimasukkan, sambil menegaskan teks dokumen tersebut akan diterbitkan selepas ia ditandatangani secara rasmi.
Beliau menekankan bahawa pelaksanaan dokumen itu amat penting dan Iran mempunyai pelan khusus untuk memantau pematuhan AS terhadap komitmennya di bawah MoU tersebut.
Pengumuman perjanjian damai itu memberikan kelegaan kerana harga minyak menurun dan pasaran saham melonjak, selepas berbulan-bulan peperangan yang membawa kepada gangguan terhadap ekonomi dunia, khususnya bekalan tenaga.
Harga minyak mentah merosot sehingga lima peratus semalam dengan West Texas Intermediate (WTI) menghampiri paras AS$80 (RM324) setong buat pertama kali sejak awal Mac.
Sementara itu, minyak mentah Brent jatuh lebih empat peratus kepada sekitar AS$83.60 (RM339) setong.
Kedua-duanya pernah melonjak melepasi AS$110 (RM446) setong sejurus selepas konflik bermula, namun menurun secara beransur-ansur.
Pengumuman perjanjian itu mencetuskan kelegaan di peringkat global dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),
Antonio Guterres menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah menyelesaikan perang.
Arab Saudi yang sebelum ini beberapa kali menjadi sasaran Iran sepanjang perang, menyambut baik perjanjian itu dan menambah bahawa ia perjanjian yang mengambil kira kepentingan keselamatan negara-negara serantau.
Mesir pula menyifatkannya sebagai satu titik perubahan manakala Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyebutnya sebagai langkah bersejarah ke arah keamanan.
United Kingdom (UK), Perancis, Jerman dan Itali berkata, mereka bersedia menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Iran dan akan bekerjasama dengan AS, Iran serta rakan serantau bagi merebut peluang mengekalkan momentum dan penyelesaian diplomatik jangka panjang.
Dalam pada itu, ekonomi Malaysia serta bekalan minyak global dijangka mengambil masa untuk kembali stabil, meskipun AS dan Iran berjaya mencapai perjanjian damai.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan menyambut baik sebarang usaha ke arah perdamaian kerana konflik yang berpanjangan memberi kesan langsung kepada pasaran minyak dan rantaian bekalan antarabangsa.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang perkembangan positif tidak seharusnya menyebabkan negara mengambil sikap terlalu selesa kerana keadaan boleh berubah disebabkan faktor-faktor luar jangka.
“Sudah pasti krisis yang berlaku di peringkat global melibatkan geopolitik ini memberi kesan yang ketara kepada negara, khususnya dalam soal bekalan minyak.
“Kita sememangnya menantikan perkembangan yang boleh membuka ruang kepada perjanjian damai, namun ia tidak membolehkan kita kembali kepada keadaan selesa kerana keadaan masih boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar jangka,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di Putrajaya, semalam. – UTUSAN











