PETALING JAYA: Pertama Digital Berhad telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perfect Hexagon Commodity and Investment Bank Limited (PHL) dan Alsirat Sdn. Bhd. (ASB) bagi menjamin pelaburan untuk bank digital yang dicadangkan.
Dilesenkan di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA), PHL adalah milik penuh PHL yang berpengkalan di Hong Kong. PHL merupakan pemain perdagangan komoditi global dalam segmen asas logam dan logam bernilai sejak 2014.
ASB merupakan milik penuh 100 peratus syarikat Bumiputera yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam menjalankan misi projek kritikal untuk para pelanggan mereka sejak mula beroperasi. Syarikat itu menyediakan penyelesaian pengurusan bukti digital, analisis data besar, pembelajaran mesin, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan internet.
Di bawah MoU itu, PHCIB dan ASB berhasrat menyokong inisiatif penyertaan kewangan dengan melabur di bank digital yang dicadangkan oleh Pertama Digital. Kedua-dua pelabur tersebut akan mengambil bahagian dengan menyumbang dana modal awal bank digital di samping Pertama Digital.
Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar yang mengetuai inisiatif bank digital berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan PHCIB dan ASB sebagai pelabur yang akan memberikan kekuatan kewangan jangka panjang tambahan kepada konsortium perbankan digital syarikat itu.
“Selain itu, ia meningkatkan lagi kemampuan kami untuk mencapai objektif penyertaan kewangan yang ditetapkan di dalam rangka kerja perlesenan bank digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Kumpulan PHL, Yap Sheng Feng berkata, penyertaan PHCIB akan menjadi kerjasama sinergi dengan anggota konsortium memanfaatkan pengalaman syarikat itu dalam perbankan pelaburan, perbendaharaan dan pengurusan aset.
“Dengan kehadiran PHCIB di seluruh dunia, konsortium Pertama Digital akan mempunyai jangkauan yang lebih luas bukan hanya di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pengarah ASB, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf pula berkata, ASB melihat keperluan secara langsung untuk mempercepat inklusiviti digital berikutan sifat perniagaan syarikat itu.
“Kami telah memutuskan bahawa fokus unik Pertama Digital untuk memberi perkhidmatan kepada golongan yang tidak diberi perhatian di dalam perkhidmatan kewangan adalah sesuatu yang kami ingin turut serta,” katanya.
Pertama Digital yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, menerima kelulusan pemegang saham pada 21 Ogos 2020 untuk beralih daripada perniagaan tekstil ke sektor teknologi.
Menerusi pelaburan di dalam syarikat teknologi kerajaan, DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd., Pertama Digital memanfaatkan trend pecutan digital global dan baru-baru ini telah meningkatkan pengambilan di dalam penyelesaian inovatif digital seperti MyPay dan eJamin, yang merupakan penyelesaian pembayaran jaminan mahkamah telefon pintar pertama di dunia yang kini sedang digunakan di Malaysia. – UTUSAN










