SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dikhabarkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Sekiranya benar, Aminuddin bakal meninggalkan kerusi Sikamat yang disandangnya selamat empat penggal iaitu sejak 2008.
Spekulasi itu semakin kuat kedengaran, apatah lagi Aminuddin ialah Ahli Parlimen Port Dickson dan juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Port Dickson.
Bagaimanapun, Naib Ketua Cabang berkenaan, Muhammad Izzat Isam Bunandar berkata, siapa individu yang bakal mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi tersebut masih belum diputuskan setakat ini.
“Ia tertakluk kepada keputusan di peringkat pusat. Tok Min (Aminuddin) belum ada buka mulut lagi, dia hendak bertanding di mana
“Ya, memang Tok Min ada beberapa program sebelum ni di Linggi, namun beliau turun ke sana menyantuni atas kapasiti Ahli Parlimen Port Dickson,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Izzat Isam berkata, PKR di peringkat cabang akan tetap bekerja tidak mengira siapa yang diletakkan bertanding di DUN berkenaan.
“Siapa sahaja calon yang bertanding sama ada DUN Linggi, Sri Tanjung atau Chuah, peringkat cabang tetap akan bekerja keras untuk memenangkan calon di ketiga-tiga kerusi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, penyandang kerusi DUN Chuah daripada PKR, Datuk Yew Boon Lye berkata, memang terdapat cadangan untuk meletakkan Aminuddin di kerusi tersebut.
“Ada cadangan di Cabang Port Dickson,” katanya ringkas.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN Linggi dari Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Faizal Ramli mengakui ada mendengar khabar angin Aminuddin akan bertanding di situ.
“Saya difahamkan beliau telah mula turun ke kawasan Linggi. Apapun saya akan pertahankan kerusi saya sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Aminuddin menyerahkan kepada kepemimpinan untuk menentukan kerusi yang ditandinginya kelak. – UTUSAN










