TEHERAN: Iran menyerang pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Jordan, Bahrain dan Kuwait dalam siri serangan balas terbaharu antara Teheran serta Washington selepas sebuah helikopter Apache AS ditembak jatuh di Selat Hormuz.
Pertempuran paling teruk antara Washington dan Teheran sejak gencatan senjata 8 April itu menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap dakwaan awal Presiden AS, Donald Trump, berhubung rundingan yang kini ‘di peringkat akhir’ sebelum mencapai satu perjanjian kekal untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Pasukan Iran menembak peluru berpandu jarak jauh dan memusnahkan empat sasaran utama di Jordan, termasuk kubu pesawat pejuang F-35 di pangkalan udara serta pusat arahan AS di Al-Azraq, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yang dipetik agensi berita IRNA semalam.
Tentera Jordan berkata, pihaknya menembak jatuh lima peluru berpandu dari Iran dan tiada korban jiwa atau kerosakan dilaporkan.
Permusuhan turut merebak ke negara lain di Asia Barat, dengan siren serangan udara dibunyikan di Bahrain selepas IRGC mendakwa menyerang satu lagi pangkalan AS di negara itu.
Tentera Kuwait berkata, sistem pertahanan udaranya sedang memintas ‘sasaran udara bermusuhan’, tanpa menyebut pihak yang menyerang, walaupun Iran baru-baru ini melakukan beberapa serangan maut ke atas sekutu AS itu.
Insiden tersebut berlaku selepas tentera AS mendakwa telah ‘menyelesaikan’ serangan balas terhadap Iran berhubung insiden helikopter serangan Apache yang ditembak jatuh.
Markas Pusat AS (CENTCOM) yang mengawal operasi tentera di Asia Barat berkata, pasukannya menyerang pertahanan udara Iran, pusat kawalan darat dan tapak radar pengawasan berhampiran Selat Hormuz dengan peluru berpandu yang dilancarkan jet pejuang Tentera Udara dan Tentera Laut AS.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, sebelum ini mengancam untuk membalas dendam dengan menegaskan AS sengaja menguji Teheran.
“AS memilih untuk menguji keazaman kami. Angkatan tentera kami tidak akan membiarkan sebarang serangan atau ancaman tidak dibalas,” katanya di platform X.
Semasa serangan AS itu, media Iran melaporkan sekurang-kurangnya dua siri letupan berlaku di sepanjang pantai selatan Iran berhampiran Selat Hormuz.
Saluran berita Axios melaporkan, tentera AS menyerang beberapa sistem pertahanan udara dan sistem radar Iran di sekitar selat tersebut.
Beberapa jam sebelum itu, Trump mendakwa rundingan untuk menamatkan perang selama tiga bulan itu berada di peringkat akhir, dakwaan yang berulang kali diumumkannya sejak beberapa minggu terakhir.
Namun, selepas insiden helikopter tersebut, Trump dalam temu bual telefon bersama ABC News mendakwa AS sedang bertindak dengan cara yang tegas.- AFP










