Bapa sedia bawa kes anak ditampar senator ke mahkamah

Bapa sedia bawa kes anak ditampar senator ke mahkamah

TANGKAP layar laporan berita cucu Tok Guru Nik Aziz yang mendakwa ditampar oleh seorang senator.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bapa kepada Nik Alif Aiman menegaskan, keluarganya bersedia membawa kes melibatkan anaknya yang ditampar oleh seorang senator ke mahkamah bagi mendedahkan semua fakta yang didakwanya masih tertutup.

Ariffahmi Ab. Rahman berkata, beliau akan mendapatkan khidmat peguam terbaik bagi memastikan kebenaran dapat dibuktikan menerusi proses perundangan.

“Kami bersedia ke mahkamah dan akan memilih peguam terbaik untuk ‘melondehkan’ semua fakta yang tertutup serta yakin Allah SWT bersama dengan orang-orang yang sabar,” katanya semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebelum ini, seorang mahasiswa yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Ariffahmi memberitahu, dia percaya anaknya bercakap benar kerana merupakan seorang pemimpin pelajar yang berwibawa dan tidak pernah berbohong terutama dalam perkara serius.

Katanya, tempoh agak lama sebelum laporan polis dibuat bukan disebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor atau sebarang urusan politik lain, sebaliknya kerana perbincangan dengan pihak universiti bagi mencari penyelesaian tanpa melibatkan laporan polis.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pihak universiti sejak awal lagi kelihatan memihak kepada senator berkenaan selain cuba membuat kesimpulan tanpa bukti dan mahu perkara itu tidak diperbesarkan tanpa memberi keadilan kepada maruah anaknya yang didakwa tercalar.

“Selaku penganjur program di Janda Baik pihak universiti sepatutnya bertanggungjawab melindungi maruah dan keselamatan pemimpin pelajar yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini