GEORGE TOWN: Pekebun durian yang berminat menggunakan sistem kod QR bagi tujuan pengesahan produk tidak perlu menjadi ahli Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pulau Pinang.
Pengerusi persatuan itu, Kie Kim Hwa berkata, mereka hanya perlu mendaftarkan maklumat yang berkaitan melalui koperasi dilantik untuk mengendalikan sistem berkenaan.
Beliau berkata, pendaftaran itu bagi membolehkan maklumat lengkap mengenai kebun serta hasil durian mereka direkod sebelum dipaparkan menerusi kod QR untuk rujukan pengguna.
“Sistem ini diperkenal bagi meningkatkan ketelusan dalam rantaian bekalan durian selain memberi keyakinan kepada pengguna mengenai sumber buah yang dibeli kerana rata-rata pengguna kini semakin menitikberatkan aspek keselamatan makanan serta mahu mengetahui asal-usul produk sebelum membuat sebarang pembelian.
“Justeru, apabila kod QR itu diimbas, pengguna boleh mengetahui dari mana durian itu datang, lokasi kebun, jenis durian serta beberapa maklumat berkaitan pengeluarannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sistem pengesahan kod QR untuk durian keluaran Pulau Pinang itu sebelum ini diperkenalkan bagi menjamin ketulenan produk selain meningkatkan tahap keyakinan pengguna terhadap durian dari negeri ini.
Dalam pada itu, Kim Hwa berkata, bagi menyertai sistem berkenaan, pekebun perlu mengemukakan maklumat seperti nombor lot kebun, nama pemilik, nombor telefon serta jenis durian yang ditanam dan semua maklumat tersebut akan disimpan dalam pangkalan data yang boleh diakses melalui kod QR pada produk.
Beliau berkata, sistem itu juga mampu membantu mengesan sumber durian dengan lebih cepat sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan keselamatan makanan atau kualiti produk. UTUSAN











